GEORGE TOWN – Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang terjatuh dari tingkat 10 sebuah sebuah kondominium di Gelugor di sini, pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, setakat ini pihak polis telah merakam keterangan empat individu termasuk ahli keluarga, rakan sekolah dan guru.
“Berdasarkan rakaman keterangan kesemua individu, tiada sebarang unsur negatif terhadap mangsa.
“Siasatan masih diteruskan bagi menentukan punca sebenar kejadian itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.
Mengulas lanjut Abdul Rozak juga memaklumkan mangsa kini belum sedarkan diri serta masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis,” katanya.
Artikel berkaitan:
Media pada Isnin lalu melaporkan mangsa sudah menjalani pembedahan dan masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian tersebut pada jam 1.15 petang Ahad dan mangsa dilaporkan terjatuh dari bilik tidur di tingkat 10 sebelum ditemui dalam keadaan terbaring di tingkat tujuh kondominium berkenaan.
“Impak kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke HPP untuk rawatan.
“Kita juga telah merakamkan keterangan ahli keluarga mangsa dan setakat ini tidak menjumpai sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini,” katanya. – MalaysiaGazette















