SUBANG JAYA – Kekuatan rakyat negara ini adalah kerana semangat kesepaduan yang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara yang hebat dan berjaya, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri menegaskan, dengan semangat tersebut, rakyat bukan sahaja boleh melakukannya tetapi mesti dilaksanakan dengan baik kerana negara ini memiliki potensi yang besar.
Apatah lagi, kata beliau, angka-angka dan petanda ekonomi sejak kebelakangan ini juga sangat mengesankan dan mengagumkan.
“Tetapi ia juga menuntut cabaran. Negara boleh maju, terserlah sebagai negara hebat. Negara boleh mendatang atau merosot. Dan kita, rakyat, telah pilih untuk bawa dan ingin mencapai kemajuan yang membanggakan dan bergaya.
“Sebab itu kita harus pastikan semua aspek kegiatan kita seperti pelancongan yang memerlukan penyertaan semua, sikap, senyum, kerja dan ketersediaan kita serta cara kita mengolah tarikan cara baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Cerita Malaysia Kita Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Surf Beach, Sunway Lagoon di sini malam ini.
Mengulas lanjut, Anwar menambah, sektor kerajaan, awam, swasta, badan-badan pelancongan dan syarikat memiliki peranan masing-masing secara positif.
Jelas Perdana Menteri, ia bagaimana kita boleh mengusahakan dan mencari ikhtiar tambahan untuk mengangkat martabat negara ini. – MalaysiaGazette
















