GOMBAK – Kerajaan memerlukan satu gerakan dan rancangan menyeluruh melibatkan seluruh jentera negara bagi memperkukuh penguatkuasaan di semua peringkat, susulan kelemahan pelaksanaan khususnya dalam aspek kebersihan, pematuhan peraturan dan kawalan pekerja asing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun beberapa tindakan penguatkuasaan telah diputuskan dan dilaksanakan hasil perbincangan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, kerajaan tidak boleh mudah berpuas hati kerana masih terdapat kelemahan ketara di peringkat Persekutuan, negeri serta pihak berkuasa tempatan.
“Jangan kita mudah berpuas hati. Saya lihat di beberapa peringkat termasuk majlis perbandaran, tindakan dari segi kebersihan, pelaksanaan dan penguatkuasaan masih lemah.
“Sebab itu mesti ada gerakan yang menyeluruh melibatkan seluruh kekuatan jentera negara barulah negara ini boleh diperbaiki,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan Solat Jumaat di Masjid Ar-Rahimah, Taman Greenwood di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, kerosakan sistem lazimnya bermula dari peringkat atasan.
Justeru katanya, penguatkuasaan terhadap kepimpinan tertinggi termasuk ketua setiausaha, ketua-ketua pengarah, malah Jemaah Menteri sendiri perlu dipantau dengan lebih teliti.
Tambahnya, di peringkat bawahan pula, isu berkaitan gerai, tahap kebersihan serta kemasukan pekerja asing yang tidak mematuhi peraturan perlu diberi perhatian serius, termasuk tindakan terhadap pelanggaran undang-undang yang membenarkan warga asing bekerja tanpa mengikut prosedur sah.
“Isu pekerja luar yang masuk tanpa ikut peraturan dan pelanggaran peraturan oleh warga asing ini tidak boleh dibiarkan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Anwar berkata, beliau telah mengarahkan agar tindakan yang diumumkan kerajaan beberapa hari lalu diteruskan secara konsisten sehingga benar-benar memberikan kesan positif kepada rakyat dan negara.
“Ini bukan tindakan sementara, saya mahu ia diteruskan sehingga ada perubahan yang nyata,” katanya.
Kelmarin, Anwar ketika berucap pada majlis amanat Perdana Menteri bersama Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi Penguatkuasa memberi tempoh seminggu kepada pimpinan tertinggi pasukan penguatkuasa untuk mengesahkan kesediaan mereka memikul amanah dan tanggungjawab atau memilih untuk bertukar ke jawatan lain.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, kesediaan untuk terus menggalas tanggungjawab itu boleh disampaikan kepada beliau sendiri, menteri atau ketua jabatan masing-masing.
Katanya, kejayaan yang dicapai wajar diraikan, namun pada masa sama kerajaan perlu bersikap insaf dengan menilai secara jujur kekuatan dan kelemahan yang masih wujud, khususnya dalam kalangan agensi penguat kuasa. – MalaysiaGazette















