Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Seorang pembayar cukai diisytihar muflis selepas gagal membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM15 juta bagi tahun-tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Perkara itu ditentukan selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam menolak permohonan Sayyid Shah Abdullah, 51, selaku penghutang penghakiman untuk menggantung prosiding kebankrapan yang difailkan oleh Kerajaan Malaysia selaku pemiutang penghakiman.

Peguam Hasil, Qhistina Mohd Apandi yang mewakili kerajaan berkata, prosiding kebankrapan itu difailkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 April 2022 yang membenarkan permohonan kerajaan untuk memasukkan penghakiman terus terhadap Sayyid Shah.

Ia berhubung tunggakan cukai pendapatan selama tujuh tahun berjumlah RM14,463,166.14 bagi tahun-tahun taksiran 2011 hingga 2017.

Ujar beliau, ia termasuk kenaikan cukai yang telah menjadi terhutang dan perlu dibayar kepada Kerajaan Malaysia.

Prosiding kebankrapan itu dimulakan sejak 27 Januari 2023 melalui pemfailan notis kebankrapan dan berlarutan selama beberapa tahun berikutan permohonan demi permohonan yang difailkan.

“Akhirnya, mahkamah mengisytiharkan perintah kebankrapan terhadap Sayyid Shah,” kata peguam itu kepada pihak media hari ini.

Semalam, prosiding itu dijalankan dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norbert Liew Chee Vui, yang turut dihadiri peguam Lee Teong Hooi mewakili Sayyid Shah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast