Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Jemaah Menteri diarahkan supaya memberi perhatian serius terhadap aspek penguatkuasaan dan integriti dalam agensi kerajaan bagi membendung salah laku serta rasuah dalam perkhidmatan awam.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, arahan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu bertujuan memastikan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan terus terpelihara dan tidak terjejas akibat tindakan tertentu yang menimbulkan persepsi negatif.

“Beberapa tindakan badan penguatkuasaan sebelum ini menunjukkan wujud sikap yang tidak membantu sekali gus memberi kesan kepada tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI menegaskan, Jemaah Menteri tidak mencampuri sebarang kes yang sedang disiasat dan menyerahkan sepenuhnya tindakan kepada badan penguatkuasaan mengikut undang-undang.

Beliau berkata, prinsip itu turut terpakai dalam kes yang melibatkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar serta timbalannya yang kini berada di bawah tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan peringatan Perdana Menteri mengenai integriti turut disusuli langkah Ketua Setiausaha Negara yang mengeluarkan arahan kepada semua Ketua Setiausaha Kementerian supaya memperkemas kawalan dalaman dan tadbir urus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast