KUALA LUMPUR – Gelagat sekumpulan murid yang teruja bertemu Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di sebuah restoran mewah di ibu kota mencuri perhatian netizen.
Ia kerana kesemua mereka tidak menyangka penghibur nombor satu negara itu akan mengajak mereka makan sekali untuk berkongsi rezeki.
Menerusi video yang tular di platform media sosial, kumpulan kanak-kanak lelaki pada mulanya dilihat mengintai penyanyi nombor satu negara itu yang sedang menikmati juadah dari luar kaca premis itu.
Namun tidak berapa lama kemudian, mereka tidak melepaskan peluang meminta penyanyi itu memberi tanda tangan atau autograf malah ada yang sanggup mengoyak buku latihan masing-masing.
“Mereka minta sign budak-budak ini, habis dikoyakkan buku. Nanti kita ambil gambar,” kata Siti sambil tersenyum.
Tidak cukup itu, Siti yang merendah diri membahasakan dirinya sebagai aunty menawarkan diri untuk membelanjaa mereka makan.
“Sudah makan ke? Pergilah makan,” ujar Siti.
Namun, salah seorang daripada mereka dillihat menjawab tidak mempunyai wang kerana masih bersekolah.
“Tidak apa, aunty belanja, pergi makan,” jawab Siti di mana netizen memuji sikap rendah diri yang dimilikinya.
Malah netizen kagum kerana Gen Alfa itu mengenali Biduanita Negara itu yang berusia 47 tahun biarpun difahamkan mereka baru berusia 13 tahun.
Generasi Alfa (Gen-A) merujuk kepada kanak-kanak yang lahir antara tahun 2010 hingga 2025 yang kini sebahagian besarnya merupakan murid sekolah.
Mereka adalah generasi pertama yang lahir sepenuhnya dalam abad ke-21 di mana celik teknologi iaitu gajet dan internet serta dididik dalam persekitaran digital serta visual, menjadikannya generasi paling berteknologi tinggi setakat ini. – MalaysiaGazette
















