KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius satu hantaran di platform TikTok melalui akaun Justicenafisa🤍 (@misuscu.yong) yang mengandungi tohmahan serta dakwaan berunsur fitnah terhadapnya.
Hantaran tersebut antara lain menuduh satu “saman palsu” telah diserahkan oleh pegawai SPRM serta melabelkannya sebagai satu “scam”.
Dakwaan ini adalah sama sekali tidak benar, mengelirukan dan menjejaskan kredibiliti SPRM sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang.
SPRM telah mengeluarkan tuntutan supaya permohonan maaf terbuka dibuat dan hantaran fitnah tersebut diturunkan serta-merta. Sekiranya individu berkenaan gagal mematuhi tuntutan ini, tindakan undang-undang akan diambil bagi melindungi imej dan reputasi Suruhanjaya.
Dalam perkembangan berkaitan, SPRM telah memperoleh izin mendakwa daripada Pejabat Peguam Negara terhadap individu tersebut. Pertuduhan dijadualkan pada 5 Februari 2026 berhubung dakwaan kes rasuah berkaitan “counter setting” imigresen.
SPRM menegaskan, semua siasatan dijalankan secara profesional dan berlandaskan undang-undang, serta mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih. – MalaysiaGazette
















