Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran mewajibkan pembelian barangan tempatan sekurang-kurangnya 50 peratus dalam memastikan kelangsungan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah itu juga bagi membolehkan PMKS terus menerima tempahan perniagaan untuk beroperasi di sebalik pengukuhan nilai mata wang negara.

Menurut Ahli Parlimen Bagan berkenaan, peningkatan nilai ringgit tidak dinafikan memberi banyak kelebihan kepada negara khususnya dalam mengurangkan kos barangan yang diimport khususnya makanan, baja dan makanan ternakan.

Namun, ujar beliau, ia juga akan memberikan tekanan besar kepada sektor eksport dan pelancongan kerana harga barangan dan perkhidmatan tempatan menjadi lebih mahal.

“PMKS turut berdepan persaingan yang lebih sengit kerana harga barangan import menjadi semakin murah.

“Pada masa ini, PMKS sudah pun sukar untuk bersaing dengan barangan import yang dijual pada harga rendah, malah ada yang lebih rendah daripada kos pengeluaran.

“Kini, dengan pengukuhan nilai ringgit, harga barangan import dijangka terus menurun,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Guan Eng, langkah melindungi perniagaan PMKS itu perlu dilakukan memandangkan ringgit diunjurkan terus mengukuh dengan kini pada paras RM3.92.

Dalam masa sama, katanya, Kementerian Kewangan juga tidak menetapkan paras ringgit untuk tahun ini, sekali gus boleh menambah tekanan kepada sektor PMKS tempatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast