PUTRAJAYA – Tiada istilah paksaan apabila keputusan kerajaan mewajibkan pembelajaran bahasa Melayu dan sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama rakyat, sekolah antarabangsa dan sekolah persendirian.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abduk Kadir sebaliknya menjelaskan, dasar baharu pendidikan yang diperkenalkan itu bertujuan memberi ruang kepada semua rakyat untuk mendapatkan pendidikan masing-masing secara adil.
“Ini bukan soal paksaan. Saya harap kita kena perbetulkan dari segi tanggapan yang menganggap bahawa ini merupakan satu desakan dan sebagainya.
“Bagi saya apa yang kita lihat, ruang dan peluang untuk setiap rakyat Malaysia mendapatkan pendidikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Jom Masuk U (2026) JMU 2026) bagi Zon Wilayah (Premier) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sempena Hari Terbuka Putrajaya di sini, hari ini.

Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata wakil sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) menerima baik hasrat kerajaan untuk mewajibkan pengambilan subjek bahasa Melayu dan sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Beliau berkata, selain Kementerian Pendidikan Malaysia, KPT melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) juga akan mengadakan pertemuan dengan wakil sekolah pelbagai aliran bagi meneliti aspek laluan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Mengulas lanjut, Zambry berkata, proses perbincangan terperinci berhubung pelaksanaan pembelajaran bahasa Melayu dan sejarah di sekolah aliran bukan kebangsaan telah pun dimulakan oleh KPM termasuk mengadakan perbincangan awal.
“Fokus seterusnya adalah melihat aspek kelulusan serta bagaimana memastikan kelayakan yang diperoleh pelajar selaras dengan syarat pengiktirafan, terutama apabila mereka memohon kemasukan ke universiti,” katanya.
Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan melibatkan KPT bersama semua pihak berkepentingan termasuk Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA pada minggu depan bagi memperincikan aspek teknikal serta kualiti pengiktirafan.
Menurutnya, kerajaan tidak akan membuat keputusan secara tergesa-gesa atau berdasarkan pandangan tertentu semata-mata, sebaliknya melalui proses libat urus menyeluruh sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Perbincangan ini akan dibuat secara lebih mendalam dan terperinci kerana ia melibatkan dasar kerajaan. Kita mahu memastikan setiap keputusan yang dibuat benar-benar difahami dan dilaksanakan dengan teliti,” katanya. – MalaysiaGazette
















