KLUANG – Harga jualan yang terlalu mahal sehingga tiga kali ganda di beberapa karnival jualan makanan di bandar ini kebelakangan ini berpunca daripada sewaan tapak yang tinggi.
Harga tapak yang tinggi itu mendorong para peniaga menaikkan harga jualan mereka bagi mengelak rugi selepas mengeluarkan modal sewaan.
Keadaan itu menyebabkan karnival terbabit semakin kurang mendapat sambutan orang ramai kerana harga sepatutnya dijual seperti hari-hari biasa contohnya di pasar malam atau gerai-gerai di tepi jalan.
Ahli Majlis di Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Mohd Khairul Ishak berkata, sikap penganjur yang hanya mementingkan keuntungan berlipat ganda menjadi punca utama peniaga terpaksa menjual makanan pada harga tidak masuk akal.
“Perkara ini turut disokong dengan harga barangan asas kepada setiap barangan jualan yang semakin naik ketika ini dan keadaan ini menyebabkan mereka tertekan dalam mencari keuntungan di samping perlu melariskan jualan.
“Bagaimana mungkin jualan mereka akan laris apabila harganya yang terlalu tinggi dan perlu diketahui bahawa hampir keseluruhan pengunjung dalam karnival itu adalah daripada golongan B40,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, perkara tersebut dibangkitkan berikutan rungutan orang ramai yang membuat aduan harga jualan makanan dalam setiap karnival jualan makanan di daerah ini terlalu tinggi.
Sehubungan itu, Mohd Khairul menyarangkan agar satu perbincangan perlu dilakukan antara pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta penganjur.
Jelas beliau, tujuannya untuk mencari titik penyelesaian menang-menang.
“Apa yang diharapkan adalah pada masa-masa akan datang setiap karnival diadakan tidak membebankan orang ramai untuk berkunjung di samping memberi keuntungan kepada peniaga dan penganjur itu sendiri.
“Sekiranya berlarutan dikhuatiri usaha untuk menarik kedatangan orang ramai hadir dalam setiap penganjuran akan musnah dan secara tidak langsung merugikan peniaga itu sendiri,” katanya.- MalaysiaGazette
















