KUALA LUMPUR – Sebuah kilang kitar semula di Jalan Emas 1, Chan Sow Lin di sini musnah kira-kira 40 peratus dalam kebakaran yang berlaku malam tadi.
Bagaimapanun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 8.05 malam sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Razak digerakkan ke lokasi kejadian bersama bantuan daripada BBP Pudu dan BBP Hang Tuah.
Menurut Ketua Balai BBP Bandar Tun Razak, Mohd Azizi Abdullah, operasi pemadaman melibatkan kekuatan seramai 33 anggota pelbagai pangkat dengan penggunaan jentera FRT-3, EMRS-1, dua Water Tanker serta RIM-3.
Beliau berkata, setibanya pasukan bomba di lokasi, kebakaran didapati melibatkan sebuah kilang kitar semula berkeluasan kira-kira 50 x 70 kaki persegi.
“Tindakan pemadaman dilakukan menggunakan teknik ofensif dan defensif bagi mengawal api daripada merebak ke kawasan berhampiran.
“Anggota operasi turut memotong pintu pagar besi menggunakan peralatan khas bagi membolehkan pemadaman dijalankan di bahagian dalam kilang,” katanya dalam kenyataan.
Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 9.24 malam manakala operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada pukul 12.08 tengah malam.
Punca kebakaran masih dalam siasatan Unit Siasatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. – MalaysiaGazette
















