JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) digesa melakukan perubahan menyeluruh daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan proaktif bagi menangani isu pencemaran Sungai Johor yang semakin berulang dan membimbangkan.
Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman berkata, insiden pencemaran terkini di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Ulu Sungai Johor, Kota Tinggi minggu lalu sekali lagi mendedahkan kelemahan sistem penguatkuasaan sedia ada yang gagal melindungi sumber air dan komuniti setempat khususnya masyarakat Orang Asli.
“Kejadian ini bukan sahaja menjejaskan sumber air, malah memberi kesan langsung terhadap kesihatan, mata pencarian dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli yang telah berulang kali menjadi mangsa pencemaran.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan serius terhadap tahap kecekapan penguatkuasaan serta keupayaan sistem pemantauan alam sekitar di negeri Johor,” katanya dalam kenyataan.
Pencemaran sungai berkeaan disedari Ahad lalu apabila airnya bertukar menjadi warna hitam dan penduduk melahirkan keresahan kerana kesannya bukan sahaja dirasai nelayan apabila hidupan mati tetapi menjejakan loji rawatan air (LRA) berdekatan.
Selasa lalu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dilaporkan berkata, pihaknya mengeluarkan arahan sebuah kilang sawit dihentikan operasinya selepas dikenal pasti sebagai menjadi punca pencemaran sungai itu.
Itu merupakan pencemaran terbaharu selepas pencemaran Sungai Johor kira-kira tiga bulan lalu susulan kolam cucian pasir di sebuah kawasan perlombongan pasir darat pecah menyebabkan aliran lumpur memasuki hulu sungai berkenaan.
Pencemaran sungai itu disifatkan paling buruk itu menjejaskan RM1.2 juta penduduk di daerah ini serta Johor Bahru, Pontian, Gelang Patah dan Kulai.
Mengulas lanjut, Nornekman berkata, Pejuang Johor menggesa pelaksanaan langkah-langkah proaktif yang lebih tegas dan moden.
Jelasnya, semua kilang berisiko tinggi perlu diwajibkan memasang sensor kualiti air automatik dengan data masa nyata yang boleh diakses bukan sahaja oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS), malah oleh orang awam bagi memastikan ketelusan.
Di samping itu katanya, audit alam sekitar bebas oleh pakar pihak ketiga mesti dilaksanakan secara berkala sekurang-kurangnya dua kali setahun dengan laporan diumumkan secara terbuka kepada rakyat.
“Daripada segi penguatkuasaan, hukuman perlu melangkaui sekadar penggantungan lesen sementara. Denda yang dikenakan mestilah setimpal dengan tahap kerosakan alam sekitar, disertai penarikan lesen secara kekal bagi pencemar berulang.
“Syarikat yang mencemarkan sungai mesti dipertanggungjawabkan sepenuhnya untuk membiayai kerja pemulihan serta membayar pampasan kepada komuniti terjejas, selaras dengan amalan antarabangsa yang meletakkan tanggungjawab penuh ke atas pencemar,” ujarnya.
Selain itu katanya, kawasan tadahan dan sumber air mentah Sungai Johor perlu segera diwartakan sebagai zon perlindungan khas yang bebas daripada industri berisiko tinggi.
Tambahnya, semua kilang yang beroperasi di lembangan Sungai Johor juga wajib menyumbang kepada Tabung Pemulihan Sungai Johor sebagai syarat operasi bagi menjamin usaha pemuliharaan dan perlindungan jangka panjang terhadap sungai itu.
“Johor akan terus kekal sebagai negeri mesra pelabur, namun pelaburan mesti disokong sistem pemantauan yang moden, pematuhan yang ketat dan prinsip kelestarian yang jelas.
“Ini bukan pendirian anti perniagaan, sebaliknya pendirian yang pro rakyat dan pro masa depan. Pelabur yang mengamalkan amalan hijau dan bertanggungjawab akan mendapati Johor sebagai rakan strategik yang adil, telus dan berwawasan,” katanya.
Menurutnya, sudah tiba masanya JAS beralih daripada pendekatan reaktif kepada pencegahan yang proaktif.
“Hanya dengan perubahan menyeluruh ini, Sungai Johor dapat terus dipelihara sebagai nadi kehidupan komuniti, simbol tanggungjawab terhadap alam sekitar dan asas kepada pembangunan ekonomi yang benar-benar Lestari,” katanya.- MalaysiaGazette
















