JOHOR BAHRU – Semua masjid dan surau di seluruh Johor diarah mengadakan solat sunat memohon hujan iaitu Istisqa’ secara berjemaah selama tiga hari bermula hari ini
Pengerusi Jawatankuasa Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, arahan itu dibuat menjunjung titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail agar solat tersebut dilaksanakan selepas solat Zuhur.
Jelasnya, inisiatif tersebut bertujuan memohon kehadrat Allah SWT supaya diturunkan hujan bagi mengisi semula pusat-pusat tadahan air di negeri ini.

“Langkah ini juga diharap dapat memastikan bekalan air bersih dan mencukupi untuk memenuhi keperluan Bangsa Johor yang dikasihi.
“Selain itu, usaha ini diharapkan dapat membantu meredakan serta memadam kebakaran yang dilaporkan berlaku di beberapa lokasi di negeri Johor kebelakangan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, seluruh umat Islam di negeri ini diseru untuk bersama-sama menyertai solat sunat Istisqa’ sebagai tanda kebergantungan dan pengharapan kepada Allah SWT.
“Moga Allah SWT terus merahmati negeri Johor Darul Ta’zim,” katanya.- MalaysiaGazette
















