Datuk Dr Yeo Kok Vui

JOHOR BAHRU – Tindakan penguatkuasaan terhadap warga asing membeli RON95 merupakan langkah yang mampu menutup ruang ketirisan subsidi.

Ahli Majlis Mesyuarat Penasihat Pengguna Negara (MPPN), Datuk Yeo Kok Vui berkata, usaha tersebut khususnya di kawasan sempadan negara adalah selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

Presiden Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) itu berkata, usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meminda dan memperkukuh pelaksanaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 adalah tepat sekali.

“Pendekatan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk memastikan subsidi RON95 disalurkan kepada golongan sasar serta tidak disalahgunakan pihak yang tidak layak.

“Kerjasama berterusan antara KPDN, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi penguatkuasaan sempadan juga mampu memperkukuh pelaksanaan operasi standard bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan manipulasi subsidi, termasuk di kawasan berisiko tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rabu lalu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata, pihaknya akan memperkenalkan peraturan baharu di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melarang pembelian petrol bersubsidi RON95 oleh kenderaan dengan nombor pendaftaran asing.

Jelas Armizan, peraturan baharu melalui Seksyen 6 akta itu yang dijangka berkuat kuasa April ini, diperkenal sebagai penambahbaikan memandangkan larangan selama ini hanya terhad kepada ‘penjualan’ petrol RON95 bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing.

Kok Vui berkata, pelaksanaan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) serta pengukuhan penguatkuasaan di peringkat runcit penting bagi memastikan pemantauan pembayaran balik subsidi kepada pengusaha stesen minyak dilaksanakan dengan telus dan berkesan.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan penggunaan MyKad sebagai mekanisme pengesahan kelayakan adalah satu pendekatan berasaskan data yang praktikal untuk memastikan hanya warga Malaysia yang layak menikmati harga RON95 bersubsidi.

“MTPN berpandangan pendekatan ini bukan bertujuan menghukum secara menyeluruh, sebaliknya untuk memastikan subsidi dinikmati oleh golongan sasar serta mengawal ketirisan termasuk aktiviti penyelewengan di kawasan sempadan,” katanya.

Beliau turut menyeru pengusaha stesen minyak dan pengguna agar mematuhi peraturan yang ditetapkan serta bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan pelaksanaan subsidi RON95 berjalan selaras dengan objektif kerajaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast