ISKANDAR PUTERI – Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) mengumumkan penganjuran bazar Ramadan kali ini dengan harga sewaan amat murah berjumlah RM270 bagi setiap tapak lot.
Ketua Whip MBIP, Datuk Mohammad Khairi A Malik berkata, kadar tersebut amat murah berbanding kadar sewa ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Johor.
“Penetapan kadar sewa itu membuktikan keprihatinan PBT berkenaan dalam membantu peniaga kecil dan usahawan tempatan menjana pendapatan tanpa kos tinggi.
“Buat julung kalinya MBIP menyelaras kadar sewaan di semua lokasi Bazar Ramadan di bawah seliaannya kepada satu harga seragam,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, langkah itu bukti keprihatinan pihak berkuasa tempatan terhadap cabaran ekonomi dan peningkatan kos sara hidup ketika ini.
Pengurangan sewa itu diharap dapat memberi ruang kepada peniaga memulakan perniagaan dengan modal lebih rendah sekali gus meningkatkan daya saing dan kelangsungan perniagaan mereka.
Kata Mohammad Khairi lagi, MBIP juga akan melaksanakan pemilihan lebih telus bagi memastikan peluang adil kepada golongan peniaga khususnya mereka yang menetap di kawasan Iskandar Puteri.
“Langkah ini bagi mengelak penguasaan pihak luar, sekali gus memberi peluang kepada warga tempatan mencari rezeki di tempat tinggal mereka sendiri.
“Sehubungan itu, kami berharap peniaga tempatan akan menyahut usaha ini dengan mengekalkan harga jualan berpatutan demi kepentingan pengguna agar kemeriahan Ramadan dapat dinikmati semua lapisan masyarakat termasuk golongan B40,” ujarnya.
Pada 19 Januari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dilaporkan memberitahu, kerajaan negeri akan mengehadkan kadar sewa tapak Bazar Ramadan PBT kepada RM500 maksimum.
Beliau dilaporkan berkata, langkah itu bertujuan meringankan beban peniaga kecil khususnya mereka yang berpendapatan sederhana dan rendah susulan aduan diterima terdapat tapak bazar yang disewa sehingga RM1,500 sebulan.- MalaysiaGazette
















