KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga asing ditahan akibat cuba menyogok pegawai polis selepas didapati tidak memiliki lesen memandu dan dokumen pengenalan diri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu berlaku ketika pemeriksaan di Jalan Suasa 6, Sungai Besi, Cheras dijalankan pada awal pagi tadi.
Jelasnya, ketika kejadian seorang pegawai polis berusia 47 tahun sedang menjalankan tugas pemeriksaan jalan raya di lokasi berkenaan.
“Pemeriksaan ke atas sebuah motosikal yang ditunggang suspek mendapati lelaki warga asing berusia 24 tahun itu gagal mengemukakan lesen memandu kelas B2 serta dokumen pengenalan diri yang sah.
“Suspek kemudian cuba memberi wang sogokan kepada pegawai polis terbabit sebagai balasan supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang,” katanya menerusi kenyataan.
Fadil berkata, meskipun pegawai polis berkenaan memberi amaran supaya tidak cuba merasuahnya namun suspek mengendahkannya.
“Bagaimanapun, suspek enggan mematuhi arahan sebelum ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” tambahnya.
Susulan itu, katanya, suspek akan direman selama 14 hari bagi siasatan lanjut.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1969/63. – MalaysiaGazette
















