Rajendran (dua dari kiri) melawat mangsa yang kini masih menerima rawatan di hospital.

GEORGE TOWN – Gas daripada belon helium yang disita meletup ketika proses melepaskan gas dijalankan oleh anggota Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Lebuh Union, kata Datuk Bandar MBPP, Datuk A. Rajendran.

Menurut beliau, kejadian berlaku jam 7.55 malam tadi di hadapan Pejabat Jabatan Pelesenan MBPP ketika anggota berkenaan sedang melaksanakan proses pelupusan belon berisi gas ringan yang dirampas daripada penjaja tanpa lesen.

“Jabatan Pelesenan telah menjalankan pemantauan terhadap penjaja tanpa lesen di Jalan Macalister, Jalan Utama dan Jalan Gottlieb sejak 31 Januari lalu selain hasil pemerhatian mendapati terdapat aktiviti jualan belon berisi gas ringan tanpa lesen.

“Arahan lisan telah diberikan kepada penjaja supaya menghentikan aktiviti dan beredar, namun segelintir mereka mengingkari arahan tersebut.

“Susulan itu, petang semalam pegawai penguat kuasa MBPP merampas belon-belon berkenaan bersama peralatan yang terlibat di Jalan Gottlieb dan membawanya ke pejabat Jabatan Pelesenan di Lebuh Union untuk dilupuskan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Mangsa melecur di bahagian tangan dan muka.

Tambah beliau, semasa berada di Lebuh Union, anggota penguat kuasa MBPP mencucuk belon-belon tersebut bagi melepaskan gas di dalamnya tanpa kehadiran orang awam.

Katanya, bagaimanapun, belon itu kemudian meletup secara tiba-tiba sekali gus menyebabkan kebakaran kecil di bahagian belakang kenderaan MBPP yang digunakan untuk membawa barangan rampasan.

“Impak kejadian itu seorang daripada anggota yang tercedera sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang akibat melecur di kedua-dua tangan dan bahagian muka, manakala seorang lagi mengalami kecederaan ringan.

ARTIKEL BERKAITAN

Belon helium disita meletup, anggota MBPP cedera

“Laporan kejadian telah dibuat kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Siasatan lanjut juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar insiden, selain meneliti langkah pencegahan bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast