JOHOR BAHRU – Tular dalam media sosial video sejak semalam pemandu e-hailing yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang penumpang wanitanya.
Video berdurasi 19 saat itu yang dipercayai berlaku di bandar raya ini semasa penumpang wanita terbabit duduk di bahagian kerusi belakang penumpang.
Kejadian tersebut menimbulkan kemarahan orang ramai yang kesal dengan tindakan tidak bermoral pemandu berkenaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kes berkenaan.
“Polis menerima satu video tular yang memaparkan kejadian gangguan seksual terhadap seorang wanita oleh seorang pemandu e-hailing dalam sebuah kereta.
“Bagaimanapun hasil semakan mengesahkan tiada sebarang laporan polis berkaitan kes yang ditular diterima setakat ini.
“(Justeru) polis sedang mengenal pasti individu-individu yang terlibat, saksi kejadian dan punca sebenar insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan video berkenaan bagi mengelak salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian tersebut diminta menghubungi Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan menerusi talian 07-218 2323 bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















