Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kajian serta perbandingan kebaikan dan keburukan (pros and cons) membolehkan sesuatu keputusan dibuat dengan lebih cermat.

Selain itu menurut beliau, tindakan tersebut dapat menjimatkan masa dan tenaga daripada melakukan kerja yang tidak membawa manfaat serta mengelakkan kesilapan.

“Oleh itu, jangan sesekali takut dengan kajian.  Jika kita mahukan keputusan yang tepat dan meyakinkan, kita memerlukan data dan fakta yang tepat.

“Sebab itulah saya sangat menghargai setiap proses pembelajaran dalam mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

“Di situlah saya belajar memahami kekuatan dan kelemahan sesuatu polisi,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook hari ini.

Ujar Hannah, penerangan tersebut wajar dijadikan sebagai renungan sempena cuti Hari Wilayah Persekutuan.

Beliau tampil memberi penjelasan dipercayai merujuk kepada beberapa bantahan berkaitan tindakannya mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Dalam kenyataan hari ini, Pemuda UMNO membantah cadangan mengadakan pilihan raya tersebut.

Ketuanya Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, usaha menolak dan menggagalkan rancangan bagi mengadakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur itu perlu diperjuangkan sebagaimana mereka melakukan perkara sama bagi Pembaharuan Semula Bandar serta pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) sebelum ini.

Menurut Hannah, pendidikan tinggi mengajar seseorang untuk meneliti dan memahami isu serta membuat kajian secara mendalam, bukan sekadar untuk lulus peperiksaan.

Katanya, kajian akan menjadikan seseorang lebih bijak dan merupakan satu proses penting dalam mendapatkan keputusan yang lebih baik.

“Malah, kebijaksanaan merupakan elemen penting bagi seorang pemimpin yang bertanggungjawab dalam memimpin rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Kita jangan lalai.. Akmal gesa cadangan pilihan raya Datuk Bandar ditolak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast