KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia membantah rancangan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) untuk melaksanakan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Ketuanya, Datuk Dr Akmal Saleh berkata, rancangan tersebut haruslah ditolak dan digagalkan seperti mana yang dilakukan Pemuda UMNO terhadap cadangan Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT), sebelum ini.
“Mereka tetap mereka. Kita jangan lalai
“Sebagaimana kita tolak dan gagalkan perancangan URA dan pilihanraya PBT sebelum ini,begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini
“Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa. Mereka bersatu kerana kuasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Semalam, Hannah Yeoh dilaporkan berkata, kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Pada 2023, DAP Wilayah Persekutuan pernah menggesa kerajaan supaya mengembalikan semula pilihan raya di peringkat bandar raya Kuala Lumpur bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.
Difahamkan, pilihan raya PBT di Malaysia digantung pelaksanaannya pada 1960-an dan kemudian diganti dengan sistem lantikan ketua, di mana datuk bandar majlis tempatan dan yang dipertua majlis, termasuk ahli majlis dilantik kerajaan negeri. -MalaysiaGazette
















