KUALA LUMPUR – Sepasukan anggota polis lengkap bersenjata melakukan rondaan di sekitar kediaman Datuk Seri Najib Tun Razak di Jalan Langgak Duta, di sini, tengah hari tadi.
Pasukan berkenaan tiba dan menjalankan rondaan di sekitar kediaman bekas Perdana Menteri itu kira-kira jam 11.56 pagi.
Selepas kira-kira 21 minit berada di kawasan berkenaan, anggota polis terbabit dilihat beredar pada jam 12.17 tengah hari.
Rondaan itu dipercayai sebahagian daripada pemantauan keselamatan rutin di sekitar kediaman berkenaan.
Bagaimanapun, tiada maklumat rasmi setakat ini mengenai tujuan khusus kehadiran pasukan polis lengkap bersenjata tersebut.
Kehadiran anggota polis berkenaan mencuri perhatian ketika kediaman Najib di Jalan Langgak Duta menjadi tumpuan susulan perkembangan berkaitan status penahanan dan kediamannya.
Pada 18 September lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan pengampunan bersyarat kepada Najib bagi membolehkan baki hukuman penjara dijalani secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Bagaimanapun pengampunan itu tertakluk antara lain kepada pembayaran denda RM50 juta serta pematuhan syarat ditetapkan.
Mengikut Seksyen 3 Akta Penjara 1995 (Akta 537), kuasa kepada Menteri untuk, melalui pemberitahuan dalam Warta, mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat sebagai penjara bagi maksud Akta berkenaan.
Peruntukan sama turut membolehkan sesuatu premis yang telah diisytiharkan sebagai penjara dihentikan status berkenaan melalui kaedah yang sama.
Jumaat lalu, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri memaklumkan sekiranya Najib gagal mematuhi mana-mana syarat pengampunan berkenaan, pengampunan bersyarat itu terbatal dan beliau perlu meneruskan baki hukuman di penjara serta-merta. – MalaysiaGazette
















