Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Seorang peguam kanan berpendirian, tindakan mempertikai hak UMNO mengadakan kutipan sumbangan terhadap Datuk Seri Najib Razak hanya kerana perbezaan pandangan politik, sebagai tidak wajar.

Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, hak setiap individu untuk membuat pilihan perlu dihormati selagi dibuat secara sukarela, telus dan mematuhi undang-undang.

Ujarnya, masyarakat harus bersikap konsisten kerana parti politik dan pertubuhan lain turut pernah mengadakan kutipan sumbangan bagi pelbagai tujuan.

“Pada saya, jika UMNO mahu mengadakan kutipan sumbangan bagi membantu Datuk Seri Najib Razak membayar denda, biarlah ia dilaksanakan selagi dibuat secara sukarela, telus dan mematuhi undang-undang.

“Mereka tidak memaksa sesiapa untuk menyumbang. Sama ada seseorang itu mahu memberi atau tidak adalah hak dan pertimbangan individu berdasarkan kemampuan serta pendirian mereka.

“Yang mahu menyumbang, silakan; yang tidak mahu menyumbang, tidak perlu,” ujarnya dalam hantaran menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Zainul Rijal mengulas kritikan pelbagai pihak terhadap inisiatif UMNO melancarkan kutipan tabung sumbangan bagi membantu bekas Perdana Menteri melunaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadapnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kutipan itu terbuka kepada kepimpinan, ahli dan penyokong parti serta mana-mana pihak yang mahu memberikan sokongan secara sukarela.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki semalam berkata, jumlah kutipan dijangka mencecah RM2 juta. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here