KOTA TINGGI – Suspek yang mencampak kanak-kanak perempuan usia lima tahun ke dalam sungai hingga maut di Kampung Padang, Tanjung Sedili di sini semalam didakwa pernah mengalami gangguan mistik.
Saudara rapat suspek yang enggan dikenali mendakwa, bapa kepada tiga anak itu pernah bertindak tidak waras semasa tinggal di Kelantan bersama-sama anak dan isterinya sebelum ini.
Dakwanya, suspek pernah masukkan kambing dalam sungai sehingga mati.
“Dulu masa dia kena dekat Kelantan pun keadaan dia macam tu juga, tak sedar apa yang dibuat tapi ketika itu dia hilang kawalan dengan kambing,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini malam tadi.
Terdahulu portal ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dipercayai dicampak ke dalam sungai oleh suspek di Kampung Padang kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, suspek dipercayai mencampak mangsa ke dalam sungai, sebelum mengamuk dan mengejar abang iparnya yang juga bapa mangsa, berusia 40 tahun, dengan bersenjatakan parang.
Sepasukan polis kemudian ke lokasi kejadian dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan.
Suspek kemudian berjaya diberkas dan siasatan pihak polis mendapati dan lelaki berkenaan dipercayai menghadapi masalah kesihatan mental.
Bercerita lanjut, dia berkata, sebelum kejadian suspek bekerja di kedai makan abang iparnya itu di Muar sebagai penebar roti canai dan balik ke sini bersama-sama abang ipar dan mangsa yang juga anak saudaranya untuk mendapatkan rawatan yang dijadualkan di sini hari ini.
Sebelum mendapatkan rawatan itu katanya, mereka pulang ke rumah ibu suspek di Tanjung Sedili sebelum insiden berkenaan berlaku.
Katanya, suspek pernah berubat secara tradisional untuk memulihkan kesihatan mentalnya selepas mengalami masalah tersebut beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya suspek tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital memandangkan keadaannya pulih selepas mendapatkan rawatan secara tradisional.
“Dulu dia pernah terkena gangguan macam ni… masa tu kami dah bawa berubat dan alhamdulillah keadaan dia okey balik. Ingatkan dah tak ada apa-apa, tak tahu pula benda ni boleh datang balik.
“Dua minggu lepas dia ada telefon tanya khabar dan cakap nak balik sini. Masa bercakap tu keadaan dia okey sahaja, tak ada nampak yang pelik.
“Tapi bila dapat tahu kejadian ni, nampaknya keadaan dia jadi macam dulu balik,” katanya.

Difahamkan suspek juga penah cuba membakar rumahnya semasa berada dalam keadaan tidak waras.
Dia mengetahui maklumat mengenai kejadian terbabit diterima daripada ahli keluarga yang menghubunginya dari Kelantan pada sebelah petang.
“Ahli keluarga telefon beritahu pukul 2 petang semalam, memang terperanjat juga bila dengar. Kita pun tak tahu keadaan sebenar sebab kalau ikutkan, dia biasanya akan singgah rumah kami dulu di Kota Tinggi kalau nak balik ke Sedili,” katanya.
Dia menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Suspek, 37, dibawa ke Mahkamah Sesyen di sini pagi tadi untuk ditahan reman selama seminggu bermula hari ini.

Jenazah kanak-kanak tersebut akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sayang, Tanjung Sedili selepas urusan bedah siasat selesai di Hospital Pasir Gudang, pagi ini.- MalaysiaGazette
















