GEORGE TOWN – Seorang pemilik syarikat kontraktor pembinaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memberi dokumen pernyataan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) berkaitan tuntutan subsidi upah, pada 2022.
Tertuduh, Muhammad Ra’abilshah Samzali, 42, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi kepada seorang ejen Perkeso selaku Perantis Bahagian Insurans Pekerjaan di Putrajaya, satu dokumen iaitu senarai nama pekerja bertajuk SIP Subsidi Upah Bersasar 5.0 untuk tuntutan insentif di bawah berkenaan.
Dokumen itu didakwa mengandungi pernyataan palsu tentang butiran matan apabila senarai nama pekerja tersebut mengandungi pekerja yang bukan pekerja MRSJ Builders Sdn. Bhd. dan dimaksudkan untuk mengelirukan prinsipal dengan niat hendak memperdayakan prinsipal ejen berkenaan, sedangkan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tersebut mengandungi pernyataan palsu tentang butiran matan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat MRSJ Builders Sdn Bhd, Jalan Sungai Dua, Gelugor di sini, pada 14 Februari 2022.
Bagi kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butiran matan yang palsu atau silap, jika butiran itu dapat dinilai atau berbentuk wang, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.
“Saya juga memohon pasport diserahkan kepada mahkamah, namun saya difahamkan pasport tertuduh berada pada pihak mahkamah susulan dia didakwa atas tuduhan lain sebelum ini,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Muhammad Arif Shaharuddin yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan minimum dengan alasan anak guamnya kini merupakan seorang peniaga dengan pendapatan antara RM7,000 hingga RM10,000 sebulan.
“Dia perlu menanggung isteri dan tiga anak berusia antara setahun hingga lapan tahun. Malah, dia memberikan kerjasama kepada SPRM sepanjang siasatan selain hadir ke pejabat SPRM semalam untuk didakwa hari ini.
“Saya juga mohon mahkamah mempertimbangkan bahawa jaminan bukan berbentuk hukuman, sebaliknya hanya untuk memastikan kehadiran tertuduh,” katanya.
Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 serta syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwa.
Kes akan disebut semula pada 2 November depan.
Difahamkan jumlah tuntutan yang dibuat tertuduh bernilai RM275,400 membabitkan 163 pekerja. – MalaysiaGazette
















