Kedua-dua suspek dibawa bagi mendapatkan perintah reman di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Dua rakan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes samun menggunakan kapak sehingga mendatangkan kecederaan terhadap pemilik sebuah kedai membaiki jam di Jalan Anson di sini.

Perintah reman terhadap dua lelaki masing-masing berusia 42 dan 43 tahun itu dikeluarkan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi bermula hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, kedua-dua suspek tiba di mahkamah kira-kira jam 8.50 pagi dengan diiringi polis dalam keadaan tangan bergari.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang semalam, kedua-dua suspek datang ke kedai membaiki jam itu menaiki sebuah kereta sebelum seorang daripada mereka masuk ke dalam premis.

Suspek yang bersenjatakan sebilah kapak itu kemudian mengarahkan isteri mangsa menyerahkan wang.

Bagaimanapun, mangsa, 59, cuba menghalang tindakan berkenaan sebelum berlaku pergelutan yang menyebabkan tangan kanannya cedera.

Suspek kemudian melarikan diri tanpa memperoleh sebarang wang dengan menaiki sebuah kereta Volkswagen berwarna putih yang dipandu seorang lagi suspek.

Akibat kejadian itu, bahagian atas tapak tangan kanan mangsa terbelah, namun dia dilaporkan stabil selepas menerima rawatan.

Bertindak atas maklumat, polis kemudian menahan kedua-dua suspek kira-kira jam 12.20 tengah malam tadi di kawasan parkir sebuah kawasan perumahan di Straits Quay di sini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here