KUALA LUMPUR – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia sedang melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan kejadian lelaki orang asli diserang harimau di Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput (U), Perak, semalam.
Perhilitan juga sudah memasang perangkap di kawasan yang dikenal pasti sesuai.
“Perhilitan memandang serius kejadian berkenaan kerana membabitkan aspek keselamatan dan nyawa penduduk setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan kejadian itu, Perhilitan meminta penduduk setempat meningkatkan tahap kewaspadaan dan mengelakkan memasuki kawasan hutan atau lokasi yang dikenal pasti mempunyai tanda-tanda kehadiran harimau belang, khususnya secara bersendirian.
Semalam, seorang lelaki maut dipercayai akibat dibaham harimau belang ketika sedang mencari hasil hutan di Kampung Takung, Pos Perwor.

Mengulas tragedi itu, Perhilitan berkata, pihaknya menemukan mayat mangsa berhampiran jalan balak di Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput (U), Perak.
Jelasnya, Pejabat Perhilitan Sungai Siput digerakkan ke lokasi untuk menjalankan operasi pencarian dan pemeriksaan selepas mendapat maklumat awal kejadian berkenaan kira-kira pukul 4.30 petang.
Menurut Perhilitan, mangsa ditemukan dengan kesan pergelutan.
“Jarak antara lokasi kesan pergelutan dengan lokasi penemuan mangsa dianggarkan kira-kira 200 meter,” menurut Perhilitan lagi.
Tambahnya, buat masa ini siasatan masih dijalankan bagi mengesahkan butiran kejadian, termasuk punca serta keadaan sebenar insiden.
Perhilitan meminta penduduk setempat meningkatkan tahap kewaspadaan dan mengelakkan memasuki kawasan hutan atau lokasi yang dikenal pasti mempunyai tanda-tanda kehadiran harimau belang, khususnya secara bersendirian.
Penduduk juga diminta tidak menghampiri, mengejar, menangkap atau mengambil sebarang tindakan sendiri terhadap harimau yang mungkin dikesan.
“Sekiranya terdapat penampakan atau tanda-tanda kehadiran harimau belang seperti kesan tapak kaki, bunyi ngauman atau penemuan bangkai haiwan yang disyaki menjadi mangsa, orang awam diminta tidak menghampiri lokasi terbabit,” ujarnya.
Sebaliknya, mereka diminta segera melaporkannya kepada Perhilitan melalui talian 1-800-88-5151 atau www.wildlife.gov.my. – MalaysiaGazette
















