Tertuduh, Mohamad Faqih Mustapha (tengah), 37, didenda RM210,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, selepas mengaku bersalah atas 20 pertuduhan pilihan menerima suapan berjumlah RM211,636 antara Mei 2018 hingga September 2022.

MELAKA – Bekas pengurus jualan sebuah bank didenda RM210,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, selepas mengaku bersalah atas 20 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM211,636 antara Mei 2018 hingga September 2022.

Perbuatan itu adalah sebagai habuan membantu rujukan kes berkaitan urusan pinjaman perumahan kepada dua firma guaman.

Tertuduh, Mohamad Faqih Mustapha, 37, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku salah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Bagi pertuduhan-pertuduhan pilihan itu, Mohamad Faqih didapati menerima antara RM880 hingga RM16,723 sebagai suatu upah bagi dirinya iaitu pengurus jualan sebuah bank pada ketika itu, kerana membantu firma-firma guaman tersebut diberikan rujukan-rujukan kes melibatkan urusan pinjaman perumahan dengan sebuah bank.

Dia dituduh tidak melaporkan tanpa halangan munasabah pemberian suapan tersebut kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis sebagaimana dikehendaki di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009.

Wang berkenaan disalurkan menerusi akaun bank adik perempuannya membabitkan 19 transaksi dan satu transaksi ke dalam akaun banknya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah bank di Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini, antara Mei 2018 hingga September 2022 dan dituduh di bawah Seksyen 25(2) akta sama.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork memohon mahkamah mengenakan hukuman denda minimum bagi setiap pertuduhan kerana ia adalah kesalahan pertamanya selain tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM220,000 atau penjara antara dua hingga empat bulan jika gagal bayar denda selain wang jaminan berjumlah RM87,000 dipulangkan kepada tertuduh. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast