BUTTERWORTH – Mahkamah Majistret di sini hari ini menangguhkan pertuduhan kes seorang lelaki yang didakwa menyebabkan cedera parah ke atas seorang gelandangan di Medan Selera Kampung Jawa pada Januari lalu.
Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal menetapkan tarikh sebutan baharu pada 11 Februari depan bagi menunggu laporan penilaian mental tertuduh, M. Perakas, 44.
Lelaki itu berdepan pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas seorang lelaki berusia 67 tahun di Medan Selera Kampung Jawa di sini pukul 1 pagi pada 24 Januari lalu.
Pendakwaan akan dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Terdahulu, lelaki yang memakai baju-T berwarna ungu serta berseluar pendek kelihatan tenang ketika diiringi pegawai penyiasat kes Asisten Superintendan Hasryman Osman ke kamar mahkamah.
Media pada 27 Januari lalu melaporkan, seorang lelaki maut selepas bertarung nyawa lebih 24 jam di hospital akibat dipukul seorang gelandangan dalam kejadian di Medan Selera Kampung Jawa di sini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Rahman berkata, mangsa berusia lingkungan 60-an itu dibawa ke Hospital Seberang Jaya jam kira-kira 2.48 pagi pada 24 Januari lalu akibat patah beberapa tulang rusuk akibat dipukul suspek.
“Bagaimanapun, mangsa yang juga gelandangan disahkan meninggal dunia 7.30 malam ketika menerima rawatan di hospital berkenaan.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan penyakit jantung koronari
“Selain itu, mangsa juga disahkan patah tulang rusuk bahagian kiri,” katanya.
Tambah beliau, susulan itu, polis menahan seorang gelandangan berusia 40-an bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette















