Tangkap layar video tular seorang pemandu Grab melakukan gangguan seksual terhadap penumpang wanita di Johor Bahru, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membatalkan Lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) pemandu Grab yang melakukan gangguan seksual ke atas penumpang di Johor Bahru, baru-baru ini.

Tegas beliau, pembatalan PSV bermaksud pemandu tersebut tidak boleh berkhidmat sebagai pemandu di semua platform e-hailing.

Katanya, Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden tersebut dan akan memanggil semua pengendali e-hailing termasuk Grab untuk membentangkan pelan tindakan penambahbaikan untuk keselamatan penumpang.

“MOT tidak akan bertoleransi dengan sebarang tingkah laku yang mengganggu gugat keselamatan penumpang dan bersedia untuk menyokong pihak mangsa dalam memastikan tindakan polis diambil terhadap pihak pelaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, tular sebuah video yang memaparkan pemandu e-hailing melakukan gangguan seksual kepada seorang penumpang wanita.

Video yang dirakam sendiri penumpang terbabit menunjukkan, pemandu berkenaan menghulurkan tangannya ke belakang untuk menyentuh wanita tersebut, namun ditepis.

Pemandu itu juga bertanya umur wanita berkenaan dan berapa ‘harganya’ dalam bahasa Mandarin. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast