Pihak bomba masih menjalankan operasi pemadaman api di hutan dekat Taman Botani Pulau Pinang

GEORGETOWN – Sekitar lima hektar kawasan hutan berhampiran Taman Botani Pulau Pinang, Jalan Kebun Bunga, dilaporkan terbakar petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 6.24 petang dengan jentera pertama tiba di lokasi 16 minit kemudian.

Katanya, kebakaran dilaporkan berlaku berhampiran laluan pacuan empat roda ke Puncak Bukit Bendera, menjadikan operasi pemadaman lebih mencabar.

“Cabaran utama pasukan bomba ialah mendapatkan sumber air di kawasan berbukit selain perlukan lori tangki muatan air bersaiz kecil.

“Perancangan kita ialah bagi melakukan teknik mengepam air menggunakan kaedah ‘relay pumping’ bagi menghantar air dari sumber yang jauh ke lokasi kebakaran serta menggunakan sumber takungan air (water dam).

“Ketika ini operasi masih diteruskan sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya dan maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Semalam media melaporkan JBPM Pulau Pinang memaklumkan bahawa sejak 1 Januari lalu, Pulau Pinang merekodkan 234 kes kebakaran belukar dan lalang serta 67 kes kebakaran sampah.

Keadaan cuaca kering dikatakan meningkatkan risiko kebakaran terbuka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast