KUALA LUMPUR – Seramai 15 warga asing ditahan di sebuah klinik kecantikan yang disyaki beroperasi tanpa lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam operasi penguatkuasaan ‘Ops Dandan’ di sekitar Bukit Bintang di sini semalam.
Dalam operasi hasil aduan awam itu, seramai 18 individu diperiksa sebelum 15 daripadanya ditahan kerana disyaki menjalankan rawatan kecantikan tanpa kebenaran serta tidak memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada jumlah yang ditahan, enam lelaki dan tujuh perempuan merupakan warganegara China manakala, dua lagi adalah perempuan warganegara Myanmar.
Siasatan awal mendapati, warga China terbabit menyalahgunakan PLS untuk bekerja di negara ini.
“Pasukan operasi turut menyita pelbagai barangan termasuk pakaian seragam, telefon bimbit, komputer riba, kamera litar tertutup (CCTV), lesen perniagaan serta dokumen berkaitan syarikat bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata, modus operandi klinik terbabit adalah menawarkan perkhidmatan rawatan muka dan kecantikan badan menggunakan khidmat warga asing yang menyalahgunakan PLS bagi menjalankan prosedur kecantikan.
Klinik tersebut dipercayai dimiliki seorang warganegara China yang turut menyalahgunakan pas imigresen dan telah beroperasi sejak kira-kira setahun lalu dengan keuntungan dianggarkan mencecah ratusan ribu ringgit.
Kesemua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, sebelum dibawa ke Pejabat JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, tiga wanita warganegara tempatan yang bekerja di klinik berkenaan telah diberikan notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.
Zakaria menegaskan, pihaknya akan meneruskan tindakan tegas bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang negara.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak melindungi atau membantu mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen serta menyalurkan maklumat melalui saluran aduan rasmi JIM demi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara sentiasa terpelihara. – MalaysiaGazette















