KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) membidas cadangan mengkaji pelaksanaan Pilihan Raya Datuk Bandar sebagai langkah naif, simplistik dan salah arah yang disifatkan gagal memahami punca sebenar kelemahan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, usaha membingkaikan pilihan raya Datuk Bandar sebagai penyelesaian induk kepada isu kecekapan dan keberkesanan DBKL mendedahkan kegagalan kerajaan menilai masalah tadbir urus bandar secara menyeluruh.
Menurut beliau, kecekapan pentadbiran bandar raya tidak ditentukan oleh kaedah pelantikan atau pemilihan Datuk Bandar, sebaliknya bergantung kepada kekuatan institusi, sistem urus tadbir serta budaya pengurusan yang mantap dan berintegriti.
“Cadangan ini mencerminkan pemikiran cetek dan pendekatan populis. Masalah DBKL tidak akan selesai hanya dengan menukar mekanisme pemilihan kepimpinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Takiyuddin menegaskan, jika kerajaan benar-benar serius mahu memperbaiki prestasi DBKL, fokus kajian sepatutnya diberikan kepada kegagalan struktur pentadbiran, mutu kepimpinan, pengurusan sumber manusia serta kelemahan koordinasi antara unit dan agensi berkaitan.
Beliau turut menyelar kegagalan kerajaan memberi keutamaan kepada isu integriti, penguatkuasaan, kejelasan keutamaan dasar serta kelewatan dan ketidakselarasan dalam pembuatan keputusan yang terus membelenggu DBKL.
Selain itu, katanya, cadangan Pilihan Raya Datuk Bandar berpotensi besar mewujudkan harapan palsu kepada rakyat, seolah-olah proses pilihan raya mampu menjadi jalan pintas untuk memperbaiki penyampaian perkhidmatan bandar.
“Ini bukan pembaharuan sebenar, tetapi percubaan mengalihkan perhatian daripada masalah asas DBKL yang masih tidak ditangani,” katanya.
Tambah beliau, langkah tersebut berisiko menjerumuskan pentadbiran bandar ke dalam kekeliruan dan ketidakcekapan baharu sekiranya isu struktur dan sistem sedia ada terus diabaikan.
Sehubungan itu, PN menggesa Kementerian Wilayah Persekutuan menghentikan pendekatan simbolik dan mengkaji semula cadangan berkenaan dengan memberi tumpuan kepada reformasi institusi dan pentadbiran yang konkrit, realistik dan berimpak tinggi, bukannya mengheret rakyat ke arah eksperimen politik yang berbahaya dan tidak berpijak di alam nyata.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh memaklumkan kajian kebolehlaksanaan bagi melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur, telah dijalankan sejak pentadbiran Menteri Wilayah Persekutuan sebelum ini.
Menurut beliau, kajian berkenaan bermula pada Disember lalu dan rang undang-undang persendirian berkaitan perkara itu juga telah dikemukakan oleh seorang Ahli Parlimen dalam sidang Parlimen yang lalu.
Hannah berkata, kajian tersebut dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan bukan oleh mana-mana parti politik. – MalaysiaGazette

















Dah ada Menteri Wilayah, berilah jawatan Datuk Bandar tu kepada golongan professional & teknokrat. Tak payah lah duk sibuk nak pilihanraya tak habis-habis. Kalau di New York, London dan Jakarta tu ada pilihanraya Datuk Bandar sebab mereka tak ada Menteri Wilayah Persekutuan. Ni tak habis2 ahli politik sibuk politiking.. membuang masa dan duit pembayar cukai ja.