Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman bercakap kepada media selepas Sambutan Mula Tugas Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 di di Kementerian Pertahanan Malaysia, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24,  Datuk Malek Razak Sulaiman memberi jaminan akan membuat pembersihan secara total dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat terhadap organisasi pertahanan negara itu.

Beliau turut menegaskan, tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan yang melanggar tata kelola sama ada melibatkan sumber manusia, rancangan pembangunan, urusan kewangan atau perolehan dalam ATM dan Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Ujarnya, sudah tiba masa untuk ATM bangkit semula bukan sekadar menangani persepsi tetapi memperbetulkan kelemahan yang ada di dalamnya.

“Itu janji saya dan semua yang duduk di belakang saya untuk kita menguruskan ini. Alhamdulillah, ada hikmah apa yang berlaku itu dan itu mengajar kita untuk melihat kembali, muhasabah sama ada individu atau organisasi supaya kembali memulihkan keadaan supaya kita lebih stabil dan bersedia.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman memasukkan plag nama sebagai simbolik memulakan tugas pada Sambutan Mula Tugas Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24 di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 04 FEBRUARI 2026.

“Sebab entiti atau organisasi ATM ini adalah yang resilience (mempunyai daya tahan), bila kita berdaya tahan terhadap apa juga yang berlaku, kelemahan dan sebagainya kita akan bounced back (bangkit kembali). Jadi ini masanya untuk kita bangkit semula untuk uruskan apa yang berlaku,” katanya ketika sidang media hari ini.

Terdahulu, Malek Razak secara rasmi memulakan tugas sebagai PATke-24 di Wisma Pertahanan hari ini.

Beliau tiba di Wisma Pertahanan pada 2.15 petang sebelum menerima tabik hormat dan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Meskipun sedar, tidak mudah menggalas jawatan dalam keadaan ATM berdepan dengan pelbagai isu pada masa ini namun beliau optimis untuk melaksanakan tugas dengan kerjasama warga pertahanan dan kepercayaan yang diberikan.

“Bukan lupakan apa yang berlaku, kita uruskan apa yang berlaku dan uruskannya dengan baik. Sudah tentu dengan keadaan sedia ada dan berita yang begitu sensasi dan pendedahan kepada media sosial ada cabarannya.

“Tapi kita ada cara untuk menangani semua ini,” tambahnya sambil menzahirkan junjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang memberi perkenan pelantikannya megemudi ATM.

Mengulas lanjut, Malek Razak berkata, beliau  akan menggariskan rancangannya untuk ATM menerusi amanatnya dalam masa yang terdekat.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast