Menteri Perpaduan Negara yang juga Ahli Parlimen Kanowit, Datuk Aaron Ago Dagang pada sesi perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 20 JANUARI 2026.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menyalahgunakan isu agama dan kaum sehingga menjejaskan keharmonian serta keselamatan negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada soalan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang mempersoalkan ketiadaan tindakan tegas terhadap beberapa individu didakwa sering mencetuskan polemik perkauman dan agama.

Rayer berkata, antara individu yang disebut termasuk penceramah bebas Firdaus Wong, aktivis Zamri Vinoth serta Cikgu Chandra.

Dakwanya, kenyataan dan tindakan individu berkenaan berpotensi mencetuskan ketegangan antara kaum serta menggugat keharmonian masyarakat majmuk.

Rayer turut mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada tindakan tegas diambil walaupun isu berkaitan mereka sering dibangkitkan oleh orang ramai.

“Perkara ini menyebabkan rakyat tertanya-tanya sama ada kerajaan benar-benar serius dalam menangani unsur perkauman dan kebencian,” ujarnya.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer

Beliau memberi amaran kegagalan bertindak lebih awal boleh membuka ruang kepada konflik serta ketidakstabilan sosial.

Menjawab perkara itu, Aaron berkata kerajaan memandang serius sebarang bentuk ucapan, perbuatan atau gerakan yang berunsur kebencian, ekstremisme dan provokasi agama.

“Tindakan tegas dan tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mencabar ketenteraman awam serta menyemai perpecahan dalam masyarakat,” tegasnya.

Beliau menegaskan, walaupun kebebasan bersuara dijamin Perlembagaan Persekutuan, hak itu tidak bersifat mutlak dan tidak boleh disalahgunakan sehingga menyentuh isu perkauman, agama dan institusi negara.

Menurutnya, kementerian menyokong sepenuhnya tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti, menyiasat dan mendakwa pihak terlibat mengikut Akta Hasutan, Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.

Aaron berkata, siasatan akan dijalankan secara profesional dan berdasarkan bukti, tanpa mengira latar belakang individu terlibat.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan ruang media sosial kekal sebagai platform yang selamat, beretika dan bertanggungjawab, tanpa toleransi terhadap kandungan kebencian.

Dalam perbahasan sama, Rayer turut mencadangkan seorang jururawat Hospital Seberang Jaya, Nordina Nazifa, dipertimbangkan sebagai ikon perpaduan negara atas sikap kemanusiaan dan empati yang ditunjukkannya terhadap pesakit.

Menurut Rayer, perbuatan jururawat itu mencerminkan nilai perpaduan sebenar yang wajar diketengahkan sebagai contoh kepada masyarakat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast