Mohd Fared menyampaikan bantuan dalam Majlis Amanat 2026 dan Pengumuman Kadar Fitrah Bagi Tahun 2026 di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Unjuran pungutan zakat fitrah bagi tahun ini di Johor disasarkan RM27.32 juta yang melibatkan 2.29 juta umat Islam di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, pengiraan unjuran tersebut adalah selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa pada ketika ini.

“Ini dibuat selepas mengambil nisbah 29 peratus adalah pembayar bagi kadar RM8, 47 peratus pula adalah pembayar bagi kadar RM10 serta 25 peratus adalah pembayar bagi kadar RM20.

“Jumlah pembayar fitrah setiap tahun adalah hasil daripada kelahiran baharu dan juga mereka yang berhijrah ke negeri Johor untuk bekerja dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Amanat 2026 dan Pengumuman Kadar Fitrah Bagi Tahun 2026 di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru hari ini.

Mohd Fared berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menetapkan tiga kadar zakat fitrah tahun ini, masing-masing RM8, RM10 dan RM20.

Penetapan tersebut dibuat berdasarkan harga beras mengikut gred, pada timbangan satu gantang baghdad bersamaan 2.6 kilogram.

Kadar RM8 bagi beras tempatan, RM10 untuk beras import, manakala RM20 melibatkan beras import istimewa.

“Jadi kita mengharapkan Bangsa Johor terus membuat bayaran awal agar kutipan dapat kita agihkan dengan manfaat daripada zakat itu.

“Kita agihkan kepada ketua isi rumah fakir RM500, miskin RM400 dan setiap tanggungan mereka RM50. Jadi memadai untuk kadar kutipan zakat dan kewajiban untuk rakyat asing di negeri kita adalah membayar menerusi amil dan juga aplikasi online yang kita sediakan,” ujarnya.

Tambahnya, pembayaran boleh dilakukan melalui perkhidmatan amil, kaunter zakat MAINJ atau secara dalam talian menerusi platform Zakat Johor Online Payment dan Aplikasi Tulus.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast