Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Foto AIZAT ZAINAL, 5 FEBRUARI 2026.

KUALA LUMPUR –  Negara akan terus berada pada pertumbuhan yang positif, berdaya tahan, inklusif dan ditadbir dengan penuh hormat sekiranya kekal di landasan kepimpinan yang tepat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mengambil peringatan seorang ahli falsafah Muslim terkemuka, Al-Farabi, kepimpinan adalah satu kewajipan moral untuk mewujudkan perkembangan manusia dan pada masa sama memulihkan keseimbangan yang semakin hilang.

“Kerajaan mengambil kewajipan itu dengan serius apabila tidak akan berundur daripada pembaharuan dan tidak akan berkompromi dengan integriti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampai ucaptama pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di di Pusat Konnvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama Ketua Menteri Sarawak, Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika hadir pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Foto AIZAT ZAINAL, 5 FEBRUARI 2026.

Mengulas lanjut, Anwar menambah, FEM kali kedua itu bukan sekadar mengenai ramalan atau instrumen dasar kerajaan semata-mata.

Tegas Perdana Menteri, forum itu mengenai tanggungjawab untuk mentadbir negara penuh integriti dan melaksana pembaharuan dengan berani.

Lebih penting tegas beliau, ia bagi memastikan kemajuan ekonomi membawa maksud yang benar dan nyata kepada rakyat.

“Malaysia hari ini berdiri di landasan yang lebih kukuh apabila Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang sekitar 4.9 peratus pada tahun 2025 manakala inflasi telah terkawal pada kadar 1.6 peratus.

“Keyakinan pelaburan juga kembali dan ia adalah tanda-tanda yang menggalakkan, mencerminkan pengurusan fiskal yang berdisiplin dan keseriusan memperbaharui dalam tadbir urus.

“Kemajuan ini tidak berlaku secara kebetulan dan ia mencerminkan usaha untuk memulihkan kepercayaan terhadap kewangan awam, kredibiliti kepada institusi dan integriti dalam pelaksanaan kuasa,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Forum Ekonomi Malaysia (FEM) 2026 di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Foto AIZAT ZAINAL, 5 FEBRUARI 2026.

Anwar memberitahu, angka sahaja juga tidak menentukan kejayaan dan pasaran mungkin bertindak balas terhadap data tetapi rakyat yang menilai berdasarkan pengalaman mereka.

Kata beliau, pertumbuhan itu mesti dirasai di rumah, di tempat kerja dan dalam kos sara hidup yang dihadapi oleh keluarga biasa di mana ia akan kekal kosong sekiranya kesemua itu tidak berlaku.

“Satu isyarat nyata tentang keyakinan yang diperbaharui ialah pengukuhan ringgit. Faktor luaran memainkan peranan tetapi mata wang akhirnya mencerminkan kepercayaan terhadap institusi, hala tuju dasar dan kepercayaan bahawa sesebuah negara ditadbir dengan disiplin dan tujuan.

“Kepercayaan itu sedang dibina semula kerana kerajaan ini telah mengambil pendirian yang jelas, berprinsip dan tanpa kompromi terhadap tadbir urus,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast