KUALA LUMPUR – Kumpulan Pendidikan As Sofa (SEG) terus memperkukuhkan kedudukannya dalam bidang pendidikan apabila melancarkan projek pembinaan Kolej Islam As Sofa bertaraf universiti dengan anggaran kos RM15 juta di Rembau, Negeri Sembilan.
Ketua Pegawai Eksekutif SEG, Dr. Mohd. Amirul Isma Md. Yusof berkata, bangunan kolej itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun di kawasan seluas 3,251 meter persegi dalam usaha memartabatkan pendidikan berteraskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menurut beliau, projek tersebut bakal menjadi mercu tanda tertinggi SEG di mana bangunan secara kekal itu menjadi syarat utama yang mesti disediakan lengkap dengan prasarana untuk dinaiktaraf menjadi kolej universiti.
“Pada mulanya bangunan itu hendak didirikan di Mantau, Negeri Sembilan namun selepas diteliti kawasan tanah di situ tidak sesuai sebelum kami beralih ke Hulu Langat, Selangor.
“Tetapi bekalan elektrik di situ tidak mencukupi untuk menampung bangunan dan selepas mengadakan perbincangan dengan Undang Luak Rembau, Datuk Abdul Rahim Yassin tahun lalu, kami bersetuju untuk membina kolej itu ke sana,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sebagai langkah permulaan, SEG telah mengadakan majlis makan malam amal baru-baru ini yang bertujuan mencari dana awal bagi menampung sebahagian kos yang ditetapkan di mana dana berjaya dikumpul sebanyak RM150,000.
Dr. Mohd. Amirul Isma menambah, dana masih belum mencukupi dan pihaknya berbesar hati sekiranya masyarakat dan pihak korporat dapat membantu dengan cara menyalurkan bantuan agar pembinaan bangunan itu dapat direalisasikan.
Majlis makan malam itu turut dihadiri Pengerusi Kolej Islam As Sofa, Datuk Dr. Sheikh Muhammad Fuad Kamaluddin bersama empat ulama Arab Saudi keturunan Sayyid Ahmad Ibn Idris iaitu Prof. Dr. Sayyid Toha ibn Sayyid Muhammad al Hasan al Idrisi, Sayyid Walid ibn Sayyid Muhammad al Mahdi al Idrisi, Sayyid Ali ibn Sayyid Muhammad al Mahdi al Idrisi dan Dr. Sayyid al Hasan ibn Sayyid Ali al Idrisi.
Majlis itu turut meraikan graduan As Sofa yang telah menamatkan pengajian peringkat Master dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam tempoh lima tahun dan kejayaan Sheikh Muhammad Fuad mendapat PhD dari Universiti Mohammed V, Maghribi pada Disember lalu.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Kolej Islam As Sofa, Dr. Muhd. Sufi Ibrahim al Hafiz berkata, antara syarat membina kolej universiti adalah mampu menampung minimum 1,000 pelajar dan mempunyai program yang diakreditasi.
“Setakat ini kami mempunyai empat program dengan dua daripadanya telah mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia.
“Kami juga sedang berusaha melengkapkan syarat-syarat lain termasuk memastikan 60 peratus pensyarah mempunyai status PhD,” katanya.
Menurut Muhd. Sufi, bangunan itu bakal melengkapi kepada sistem pendidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) yang bermula daripada tadika, sekolah rendah, menengah dan kolej.
Katanya, YSNS mempunyai bidang tersendiri di samping menyediakan pendidikan arus perdana, mereka juga menekankan tarbiah dan turath selain mempunyai hubungan eksklusif dengan Maghribi dengan menghantar lebih 170 pelajar dalam tempoh 12 tahun.
“Harapan kami adalah untuk terus bersungguh-sungguh dalam merealisasikan pembangunan kampus tetap ini.
“Selama 14 tahun As Sofa telah menyewa bangunan, dan sudah tiba masanya untuk kami mempunyai bangunan sendiri,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB 8604424793 (Kolej Islam As Sofa) atau hubungi Ustaz Shah di talian 013-210 7642 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette
















