Kebakaran melibatkan kawasan hutan berbukit seluas kira-kira 20 ekar (lapan hektar) itu tamat sepenuhnya hari ini.

GEORGE TOWN – Operasi kebakaran hutan di Bukit Bendera di Jalan Kebun Bunga di sini, berakhir sepenuhnya selepas hampir 20 jam kerja-kerja mengesan dan memadam bara api tersembunyi dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang bagi mengelakkan kebakaran berulang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, kebakaran melibatkan kawasan hutan berbukit seluas kira-kira 20 ekar (lapan hektar) itu tamat sepenuhnya pada jam 3.28 petang tadi selepas operasi pemadaman dan pengawalan dijalankan sejak semalam.

“Api berjaya dikawal pada pukul 9.30 malam sebelum dipadam sepenuhnya pada pukul 10.50 malam semalam.

“Operasi berkenaan melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal dengan bantuan BBP Jalan Perak dan Paya Terubong, selain pasukan bomba sukarela berhampiran,” katanya hari ini.

Tambah beliau, pemadaman dan pengawalan dilakukan menggunakan fire beater, jet shooter serta kaedah direct attack melalui sistem relay pumping dengan sumber air dari kolam takungan berikutan lokasi kebakaran jauh daripada punca air.

“Pemantauan turut dilakukan melalui laluan hutan dan bukit selain menggunakan dron dari udara,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Lima hektar hutan berhampiran Taman Botani terbakar

Terdahulu, media melaporkan Pengarah JBPM Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah berkata, pemantauan berterusan akan dilaksanakan di seluruh kawasan hutan Bukit Bendera bagi mengelakkan kejadian kebakaran berulang serta melindungi kawasan hutan simpan dan lokasi pelancongan utama negeri.

Katanya, kebakaran itu melibatkan sebahagian daripada keseluruhan 91 hektar kawasan Hutan Simpan Island, Bukit Bendera dan berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran hasil tindakan pantas pelbagai agensi.

Operasi pemadaman melibatkan 67 anggota daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), pasukan bomba sukarela serta agensi lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast