KUALA NERUS – Hal Ehwal Pelajar (HEPA) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganjurkan acara memasak dan gotong-royong secara bersama
melibatkan kepimpinan mahasiswa daripada Fakulti Pengurusan Maritim, baru-baru ini.
Acara ini menjadi medium pembinaan sahsiah, kepimpinan dan semangat kebersamaan dalam kalangan warga kampus.
Program ini memanfaatkan sepenuhnya sumbangan bahan mentah yang disalurkan melalui Rumah Rezeki UMT (Foodbank), iaitu sebuah inisiatif kebajikan yang menjadi nadi sokongan kepada mahasiswa yang memerlukan. Dengan kerjasama erat antara HEPA dan mahasiswa, proses penyediaan makanan dilaksanakan secara kolektif, mencerminkan budaya gotong-royong serta nilai keprihatinan sosial yang tinggi.
Makanan yang disediakan kemudiannya diagihkan kepada 300 mahasiswa UMT yang baru sahaja menamatkan peperiksaan akhir semester, sebagai tanda sokongan moral dan penghargaan terhadap usaha serta ketekunan mereka sepanjang tempoh akademik yang mencabar.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu meringankan beban mahasiswa, malah menyuntik elemen kesejahteraan emosi dan rasa dihargai dalam kalangan mereka.
Secara keseluruhannya, program ini mencerminkan peranan aktif HEPA dan kepimpinan mahasiswa dalam memperkukuh ekosistem kebajikan mahasiswa di UMT, di samping mengangkat kepimpinan mahasiswa sebagai rakan strategik universiti dalam membina kampus yang berteraskan nilai kemanusiaan, empati dan kebersamaan. – MalaysiaGazette
















