Abd Aziz Yeob Zabidi, 46, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki senjata iaitu gunting di tempat awam dan menghalang tugas polis, Oktober tahun lalu.

MELAKA – Penganggur dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki senjata iaitu gunting di tempat awam dan menghalang tugas polis, Oktober tahun lalu.

Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu terhadap Abd Aziz Yeob Zabidi, 46, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dilakukan dalam kuarters polis.

Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didapati membawa atau memiliki senjata berbahaya iaitu sebilah gunting di tempat awam tanpa alasan munasabah di sisi undang-undang.

Sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun sehingga 10 tahun serta sebatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam seorang anggota polis berpangkat sarjan daripada menjalankan tugas rasmi rondaan cegah jenayah.

Jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 186 kanun sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan Perumahan Polis Seri Temenggong, di sini, kira-kira jam 11.30 malam 21 Oktober 2025.

Berdasarkan fakta kes, pengadu bersama anggota Balai Polis Bukit Baru menerima aduan berhubung seorang lelaki memegang sebilah gunting dalam keadaan mencurigakan di belakang Blok J perumahan itu.

Pengadu kemudian memperkenalkan diri sebagai polis dan menunjukkan kad kuasa, namun tertuduh tidak memberikan kerjasama sebaliknya bertindak agresif dengan mengacukan gunting ke arah anggota polis.

Tertuduh turut mengeluarkan kata-kata kesat dan cuba menyerang anggota bertugas sebelum berlaku pergelutan sehingga dia berjaya ditahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal mengambil kira fakta kes menghalang tugas penjawat awam.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman penjara berjalan serentak bagi kedua-dua pertuduhan bermula dari tarikh dia ditangkap.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan bagi pertuduhan pertama dan penjara setahun bagi pertuduhan kedua dan hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 21 Oktober 2025. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast