PENULARAN penyakit tuberkulosis (TB) atau batuk kering yang dilaporkan di Kota Tinggi baru-baru ini telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat. Walaupun TB sering dianggap sebagai penyakit lama, realitinya ia masih kekal sebagai masalah kesihatan awam yang serius di Malaysia dan seluruh dunia, terutamanya jika pengesanan dan rawatan tidak dilakukan dengan segera dan menyeluruh.

TB adalah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh bakteria Mycobacterium tuberculosis. Bakteria ini boleh menjangkiti pelbagai organ dalam badan tetapi paling kerap melibatkan paru-paru.

Penyakit ini merebak melalui udara apabila seseorang yang menghidap TB paru-paru aktif batuk, bersin atau bercakap, lalu melepaskan kuman ke udara. Individu lain yang menyedut udara tercemar tersebut, terdedah kepada risiko jangkitan, terutama apabila berada dalam ruang tertutup, sesak dan kurang pengudaraan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa TB masih merupakan salah satu punca utama kematian akibat penyakit berjangkit di seluruh dunia. Secara global, berjuta-juta orang dijangkiti setiap tahun dan ribuan meninggal dunia akibat komplikasi penyakit ini.

Di Malaysia, situasi epidemiologi TB menunjukkan trend yang membimbangkan. Menurut data rasmi, jumlah kes TB yang dilaporkan pada tahun 2023 ialah sekitar 26,781 kes, mencatat peningkatan lebih lima peratus berbanding tahun sebelumnya. Anggaran kadar insiden TB di negara ini ialah sekitar 122 kes bagi setiap 100,000 penduduk setahun.

Gejala TB selalunya bermula secara perlahan dan boleh disalah anggap sebagai penyakit biasa. Individu yang menghidap penyakit ini mungkin mengalami batuk berpanjangan melebihi dua atau tiga minggu, demam berterusan, berpeluh pada waktu malam, penurunan berat badan dan keletihan.

Dalam sesetengah kes, pesakit juga mungkin batuk berdarah atau berasa sakit di dada. Malangnya, ramai orang tidak mendapatkan pemeriksaan perubatan awal kerana menganggap gejala tersebut sebagai masalah ringkas atau jangkitan biasa, sekali gus menyebabkan diagnosis lewat dan penyebaran jangkitan kepada ahli keluarga serta komuniti setempat.

Satu aspek penting yang sering kurang difahami mengenai TB ialah beza antara TB laten dan TB aktif. Jangkitan TB laten bermaksud bakteria TB telah memasuki tubuh tetapi masih tidak aktif. Individu dalam keadaan ini tidak menunjukkan gejala dan tidak boleh menjangkiti orang lain, namun penyakit boleh menjadi aktif apabila sistem imun menjadi lemah kerana faktor seperti penyakit kronik atau tekanan.

TB aktif pula berlaku apabila bakteria berkembang biak, menyebabkan penyakit dan boleh menular kepada orang lain. Pemahaman tentang perbezaan ini sangat diperlukan supaya masyarakat tidak panik, tetapi juga tidak mengabaikan risiko jangkitan.

Dalam konteks wabak, TB merupakan penyakit berjangkit yang wajib dilaporkan di Malaysia. Setiap kes TB yang disahkan perlu dilaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan bagi membolehkan tindakan kawalan segera diambil.

Salah satu langkah utama ialah pengesanan kes secara aktif, iaitu proses mengenal pasti individu yang pernah berhubung rapat dengan pesakit TB, seperti ahli keluarga, rakan sekerja atau rakan sekelas. Kontak rapat ini dikehendaki menjalani saringan bagi mengesan jangkitan TB awal, termasuk TB laten, walaupun mereka tidak bergejala.

Pengesanan kontak rapat bukan bertujuan menghukum atau menyalahkan mana-mana pihak, sebaliknya merupakan langkah pencegahan yang sangat penting untuk memutuskan rantaian jangkitan. Kerjasama pesakit dalam memberikan maklumat kontak rapat secara jujur dan lengkap amat membantu pihak kesihatan menjalankan saringan dengan berkesan dan melindungi komuniti daripada penularan lebih luas.

Rawatan TB aktif memerlukan regimen ubat antibiotik khas yang perlu diambil secara konsisten dan lengkap, biasanya selama enam bulan atau lebih. Kepatuhan terhadap rawatan adalah penentu utama kejayaan pemulihan.

Penghentian ubat secara sendiri atau rawatan yang tidak lengkap bukan sahaja meningkatkan risiko kegagalan rawatan, tetapi juga boleh menyebabkan pembentukan strain TB yang rintang (kebal) ubat. TB rintang ubat adalah lebih sukar dan mahal untuk dirawat serta memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan. Dalam menghadapi wabak ini, peranan pesakit dan masyarakat adalah amat penting.

Pesakit perlu menjadikan rawatan sebagai komitmen utama mereka, hadir semua sesi pemeriksaan susulan, mematuhi nasihat doktor dan mengamalkan etika batuk yang baik termasuk pemakaian pelitup muka di tempat awam apabila perlu.

Pada masa yang sama, masyarakat perlu mengelakkan stigma terhadap pesakit TB, kerana prasangka negatif hanya akan mendorong mereka untuk menyembunyikan penyakit dan mengelakkan rawatan, sekali gus memperluaskan penularan.

Penularan TB bukan sahaja boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal, tetapi juga memberi tekanan emosi dan sosial kepada individu dan keluarga mereka. Motivasi dan
sokongan daripada komuniti amat diperlukan untuk membantu pesakit menjalani rawatan sehingga sembuh sepenuhnya.

Wabak TB di Kota Tinggi dan statistik nasional memperlihatkan bahawa penyakit ini masih memerlukan tumpuan serius. Pengesanan awal, rawatan lengkap dan kesedaran masyarakat secara kolektif adalah kunci untuk memutuskan rantaian jangkitan.

TB boleh dicegah dan dirawat jika kita bekerjasama, bertindak bijak dan mengambil pendekatan yang penuh empati terhadap mereka yang terjejas. Dengan pengetahuan yang betul dan sokongan berterusan, kita mampu melindungi keluarga dan komuniti kita daripada ancaman penyakit ini.

Dr. Nurul Azmawati Mohamed
Profesor Perubatan dan Pakar Mikrobiologi Klinikal
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

 

 

Mohd Dzulkhairi

Dr. Mohd Dzulkhairi Mohd Rani
Profesor Madya Perubatan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,
Universiti Sains Islam Malaysia.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast