MELAKA – Seorang pengawal keselamatan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini selepas mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis untuk memeras ugut warga asing Ahad lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Saril Ismail, 51, yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati menyamar sebagai penjawat awam dan melakukan perbuatan atas kuasa jawatan tersebut terhadap seorang lelaki warga Bangladesh.
Kesalahan itu dilakukan di Jalan Bendahara, dalam daerah Melaka Tengah di sini kira-kira jam 2.54 petang 1 Februari lalu.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Berdasarkan fakta kes, pengadu sedang mengayuh basikal di Jalan Bendahara, Melaka sebelum didatangi seorang lelaki menaiki motosikal dari arah belakang.
Tertuduh yang berpakaian baju hitam, seluar hitam dan memakai topi keledar biru kemudian memperkenalkan diri sebagai anggota polis, sebelum menarik beg milik pengadu dan memeriksa kandungannya.
Tertuduh kemudian mengambil wang tunai berjumlah RM720 daripada beg berkenaan sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian, menyebabkan pengadu mengesyaki lelaki itu menyamar sebagai anggota polis.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Tertuduh yang diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan bagaimanapun merayu hukuman ringan dengan alasan anak guamnya menanggung isteri dan tiga anak dengan pendapatan sekitar RM2,400 sebulan sebagai pengawal keselamatan.
Hujahnya tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu untuk mendapatkan wang lebih namun sudah menyesal dan tidak akan mengulanginya lagi.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM6,000 atau penjara lima bulan sekiranya gagal bayar. – MalaysiaGazette
















