Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Besar Selangor merangkap Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari bergambar bersama perwakilan selepas hadir pada Konvensyen Keadilan Selangor 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Selangor. Foto SADIQ SANI, 07 FEBRUARI 2026

AMPANG – Ahli Keadilan Rakyat (PKR) yang gemar menimbulkan masalah dengan sikap yang tidak matang disarankan meninggalkan parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, sikap ahli yang suka merajuk dan merungut tanpa henti tidak akan membantu perjuangan parti.

Beliau yang juga Perdana Menteri menegaskan, PKR perlu fokus dan hanya memerlukan mereka yang sanggup bekerja keras untuk terus memperkukuh parti.

“Siapa tak nak kerja, keluar. Mandat ini satu amanah untuk bekerja. Sanggup bekerja, membangunkan, memperkuatkan parti. Berleter, merungut tak habis-habis, boleh keluar.

“Parti Keadilan Rakyat mesti ingat. Fokus dalam kerja ini,” katanya ketika berucap pada ucaptama Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan naib presidennya, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mengulas lanjut, Anwar mengakui kerajaan berdepan cabaran serius khususnya membabitkan isu penyelewengan dan rasuah yang telah berlarutan sejak merdeka.

Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap ketika hadir pada Konvensyen Keadilan Selangor 2026 di Pusat Konvensyen MPAJ, Selangor. Foto SADIQ SANI, 07 FEBRUARI 2026

Perdana Menteri memberi jaminan, mereka yang menyalahgunakan wang negara akan diambil tindakan tegas sebagai bukti keberanian kerajaan dalam memastikan negara berada di landasan betul.

“Sejak 1957 negara merdeka, bila pernah kerajaan berani bertindak terhadap mereka yang menyakau berbilion wang negara?

“Sebelum ini, hari-hari (wang) kita dirampas tetapi kini kita yakin negara ini berada di landasan yang betul,” katanya.

Pada masa sama, Anwar turut mengingatkan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat harus menyokong usaha membersihkan negara daripada segala bentuk rompakan dan penyelewengan.

“Sepatutnya kita bangkit. Menyokong semua usaha membersihkan negara ini. Bila lagi? Sudah ramai ditangkap, menteri, mantan menteri, panglima, pengurus besar. Apa saya peduli?

“Yang saya peduli, membantu rakyat lakukan yang sebaiknya. Bela nasib rakyat. Selamatkan negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast