Dodo, kucing jantan jalanan yang kini menjadi maskot rasmi rangkaian runcit Cat Supermarket.

MELAKA – Seekor kucing jalanan yang sebelum ini kerap menyelinap masuk untuk ‘curi makan’ di sebuah kedai haiwan peliharaan di sini akhirnya dipilih menjadi maskot rasmi rangkaian runcit Cat Supermarket.

Pengarah urusannya, Datuk Chew Chert Fong berkata, kejadian itu bermula beberapa bulan lalu di cawangan Paya Rumput di sini apabila kakitangan mendapati beberapa bungkusan makanan kucing premium koyak.

“Kami pada awalnya beranggapan berlaku kecuaian atau perbuatan individu tertentu namun rakaman kamera litar tertutup tidak menunjukkan sebarang kesan pencerobohan.

“Misteri itu akhirnya terungkai apabila seorang pekerja ternampak seekor kucing jantan jalanan memasuki premis melalui saluran pengudaraan sebelum terus menuju ke rak makanan kucing premium,” katanya.

Menurutnya, haiwan yang dalam keadaan kurus dan lemah itu kemudian mengoyak bungkusan makanan dan mula makan sebelum cuba melarikan diri namun ia gagal keluar semula melalui bukaan ruang yang sama.

Susulan kejadian itu, Chert Fong mengambil keputusan untuk memelihara kucing berkenaan yang kemudian dinamakan Dodo oleh keluarganya sehingga ia membesar sihat dan aktif dengan berat kira-kira lapan kilogram.

“Kucing itu telah dimandulkan dan menariknya, Dodo masih menggemari jenama makanan premium yang sama seperti ketika kunjungannya dahulu.

“Kehadiran Dodo turut seiring dengan pertumbuhan perniagaan Cat Supermarket yang semakin stabil malah kucing berkenaan kini bakal dijadikan maskot dan tarikan mesra pelanggan di cawangan Cat Supermarket di Kempas, Johor,” tambahnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Cat Supermarket yang turut beroperasi di Selangor, Johor dan Melaka sentiasa memberi penekanan terhadap kebajikan haiwan terbiar menerusi kerjasama dengan pasukan penyelamat haiwan berpusat di Melaka.

Pada tahun 2025 sahaja, kira-kira 400 ekor kucing jalanan berjaya diselamatkan dan kami menaja bekalan makanan premium di samping menggalakkan orang ramai mengambil haiwan terbiar sebagai peliharaan.

Kisah DoDo katanya menjadi bukti keputusan memelihara haiwan terbiar juga boleh meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast