KUALA LUMPUR — Ketua Pemuda Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) membuat laporan polis terhadap Zamri Vinoth yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur provokasi serta menyentuh isu sensitif kaum, agama dan institusi raja.
Sathiah Sudakaran berkata, tindakan itu diambil kerana Zamri didakwa didapati berulang kali menggunakan isu 3R sebagai bahan hasutan yang boleh menggugat keharmonian, kedamaian serta perpaduan rakyat Malaysia.
“Perbuatan ini bukan sahaja mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama malah berpotensi mengancam keselamatan awam serta kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, kenyataan yang disebarkan melalui platform tertentu itu dipercayai melanggar beberapa peruntukan undang-undang, termasuk Seksyen 504 dan 505 Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Sebarang cubaan mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan demi kepentingan peribadi atau politik adalah perbuatan tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan semangat kenegaraan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terperinci serta mengambil tindakan tegas di bawah undang-undang sedia ada.
“Kita mahu perbuatan provokatif seperti ini dihentikan segera bagi menjamin keamanan, kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara,” katanya.
Tambahnya, keharmonian Malaysia hanya dapat dipelihara melalui penolakan terhadap politik kebencian serta pengukuhan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat. – MalaysiaGazette
















