DAMASCUS— Arab Saudi dan Syria menandatangani 80 perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) bernilai lebih SR40 bilion (RM42.1 bilion) bagi meyokong ekonomi Syria dan mengukuhkan kerjasama di antara dua negara.
Majlis pemeteraian perjanjian pelaburan baharu dihadiri Menteri Pelaburan Arab Saudi Khalid Al Falih di sini, pada Sabtu.
Ia melibatkan entiti kerajaan termasuk Perjanjian Projek Penerbangan Aleppo yang dimeterai antara Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Syria dan konsortium pelaburan Arab Saudi yang diketuai BinDawood Investment Group.
Perjanjian berkenaan mewakili pelaburan pertama oleh Dana Elaf dan bermatlamat untuk membangunkan Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo yang baharu, mengendali dan menambah baik lapangan terbang sedia ada semasa fasa pembangunan, dan membiayai sistem navigasi radar bersepadu yang meliputi keseluruhan ruang udara Syria.
Al-Falih turut mengumumkan, Kerajaan Arab Saudi akan melabur SR7.5 bilion bagi membangunkan dua lapangan terbang di bandar Aleppo, Syria, secara berperingkat.
Sebuah syarikat penerbangan usaha sama yang dinamakan Nas Syria juga akan ditubuhkan antara kedua-dua negara, selain satu perjanjian dengan dana kekayaan berdaulat Syria untuk membangunkan Syarikat Syrian Cables.
Perjanjian Infrastruktur Telekomunikasi, yang ditandatangani antara Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Syria dan Saudi Telecom Company (STC), bertujuan menaik taraf infrastruktur telekomunikasi Syria melalui peluasan kabel gentian optik dan pembinaan pusat data.
Langkah ini akan meningkatkan perkhidmatan internet serta membolehkan Syria menjadi hab serantau bagi penghantaran data dan kesalinghubungan antarabangsa.
Perjanjian Operasi dan Pembangunan Syarikat Modern Syrian Cables pula ditandatangani antara Dana Kekayaan Berdaulat Syria dan Riyadh Cables Group.
Perjanjian ini bertujuan mengurus, mengendalikan dan membangunkan kilang-kilang Syarikat Modern Syrian Cables di Syria, melokalisasikan pengetahuan teknikal serta membangunkan keupayaan tempatan dalam sektor tenaga dan kabel elektrik.
Perjanjian yang diumumkan juga merangkumi pembangunan penyahgaraman dan pengangkutan air di Syria. Perjanjian Pembangunan Projek Penyahgaraman dan Pengangkutan Air telah ditandatangani antara Kementerian Tenaga Syria dan syarikat-syarikat Arab Saudi — ACWA Power serta National Water Transmission Company. -AGENSI
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL