Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 itu, mangsa berusia sekitar 20-an bagaimanapun terselamat apabila sempat melarikan diri sebelum suspek berumur 50 tahun ditahan polis di kawasan letak kereta kira-kira tiga jam kemudian selepas mengurungkan diri di dalam kereta dinaiki.

MELAKA – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila cuba diserang seorang lelaki dipercayai bersenjatakan pisau ketika mangsa sedang berjalan di dalam sebuah pusat beli belah di Taman Lagenda di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia sekitar 20-an bagaimanapun terselamat apabila sempat melarikan diri sebelum suspek berumur 50 tahun ditahan polis di kawasan letak kereta, hampir tiga jam kemudian.

Suspek berjaya diberkas polis selepas mengurungkan diri selama hampir tiga jam di dalam kenderaan dinaiki.

Menurut saksi kejadian, dia dikejutkan dengan jeritan seorang wanita yang berlari menyelamatkan diri di dalam pusat beli belah berkenaan sambil dikejar suspek yang dipercayai membawa sebilah pisau.

“Namun, wanita itu bernasib baik apabila lelaki itu terjatuh dan dia sempat melarikan diri sebelum lelaki terbabit berpatah balik menuju ke arah keretanya yang diparkir di luar sambil bercakap sesuatu seperti meracau.

“Semasa menuju ke kereta, lelaki itu masih memegang pisau dianggarkan sepanjang 20 sentimeter di tangannya dan dia berjalan betul-betul sebelah saya tapi mujurlah tidak menyerang saya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di lokasi di sini malam tadi.

Anggota polis berusaha memujuk suspek keluar dari kenderaannya.

Tinjauan MalaysiaGazette pada jam 11.45 malam tadi mendapati, pihak polis sedang berusaha menangkap suspek apabila lelaki itu bertindak menguncikan dirinya di dalam kereta dinaiki jenis Toyota Altis.

Setelah hampir tiga jam kemudian, suspek akhirnya menyerah diri dan keluar daripada kenderaannya itu yang sudah dikepung polis pada kira-kira jam 12.25 tengah malam.

Suspek bertindak menguncikan diri di dalam kereta dinaiki sebelum berjaya diberkas polis.

Sementara itu sumber berkata, suspek berusia 50 tahun ditahan bagi membantu siasatan melakukan ugutan jenayah serta membawa senjata berbahaya di tempat awam.

“Hasil saringan awal mendapati suspek positif ujian air kencing dan kejadian dipercayai berlaku akibat halusinasi ketika berada dalam keadaan khayal akibat pengambilan dadah.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Senjata Berbahaya 1960,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast