PUTRAJAYA – Penyertaan inklusif golongan orang kurang upaya (OKU) antara tarikan utama MAIWP RUN 2026 apabila ribuan peserta membanjiri Dataran Putrajaya pagi tadi dalam suasana penuh semangat kebersamaan dan inspirasi.
Daripada seorang bapa menolak anak berkerusi khas hingga pelari menamatkan separuh marathon walau berdepan kecederaan, larian tahunan itu bukan sekadar aktiviti sukan, malah menjadi pentas kebersamaan masyarakat pelbagai latar belakang.

Antara yang mencuri perhatian ialah bapa kepada kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Wira Sudepja Rabu, 50, yang konsisten membawa anak perempuannya, Nur Wadihana, 18, menyertai acara larian sebagai usaha membina penerimaan masyarakat.
“Sebelum ini ibu bapa banyak simpan anak di rumah tapi sejak 12 tahun lepas saya bawa anak keluar melalui aktiviti riadah. Bila masuk acara terbuka macam ni, kita nampak penerimaan masyarakat lebih terbuka,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata, cabaran fizikal bukan halangan untuk memberi peluang kepada anaknya merasai suasana masyarakat, malah beliau yang setia disisi anaknya juga telah menyertai lebih 300 acara larian termasuk di luar negara.
“Anak saya terlantar walaupun umur 18 tahun, macam bayi lima bulan sepanjang hayat. Saya kena angkat dia, bawa peralatan khas supaya selesa.
“Saya dah bawa dia sertai ratusan acara termasuk di luar negara dan bulan lepas kami berlari 52 kilometer kategori ultra marathon,” katanya.
Nur Wadihana antara lebih 40 anak OKU yang menyertai pelbagai kategori larian dalam MAIWP RUN 2026 yang dilepaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan di Dataran Putrajaya hari ini.

Dalam pada itu, Presiden KASIH Keluarga Anak Syurga Ibu Bapa Hebat, Mohd Fadli Samad, 41, turut hadir bersama komuniti OKU bagi meraikan penyertaan golongan berkenaan.
Menurutnya, acara seumpama ini menjadi platform kepada ibu bapa dan anak-anak istimewa mendekati masyarakat selain memberi kesan emosi positif kepada keluarga terlibat.
“Ini juga salah satu terapi buat kami dan anak-anak juga satu program yang memperkasakan emosi untuk ibu bapa di mana anak-anak mereka ini supaya tidak ketinggalan,” katanya.

Bagi peserta separuh marathon 21 kilometer, Hairul Azman Ramli, 48, pula berkata, pengalaman menamatkan larian walaupun berdepan kecederaan memberi kepuasan tersendiri.
“Saya mula jam 4 pagi tadi dalam 3 jam saya sampai ke garis penamat sebab ada kecederaan. Program MAIWP Run 2026 ini meriah saya akan sertai setiap tahun,” katanya.
Beliau turut memuji aspek keselamatan dan kemudahan yang disediakan penganjur sepanjang laluan larian.
“Tahun kedua saya sertai, penganjuran sangat puas hati dekat tempat yang gelap pun mereka pasang lampu dan ada marshal di setiap simpang,” katanya.

Peserta OKU, Asrol Rizal Ajan, 50, menyifatkan penglibatan inklusif dalam acara itu sebagai sesuatu yang positif.
“Di peringkat permulaan halangan itu ada tapi boleh diatasi sebab pergerakan kita terbatas saya sambut baik program fun run ini yang melibatkan warga OKU seperti saya,” katanya.

Peserta antarabangsa, Alex Khoo, 23, pula teruja melihat penyertaan masyarakat pelbagai latar belakang.
“Sangat bagus sebab ini program fun run kedua saya tahun ini di Malaysia, saya amat gembira dan akan sertai lagi tahun hadapan,” katanya.
Sementara itu, peserta cosplay, Hanim Joufry, 45, tampil berbeza dengan pakaian pramugari bagi menceriakan suasana acara.

“Saya memang cosplayer bila pakai cosplay orang akan tanya kita boleh lari ke tidak, jadi itu meningkatkan semangat kesukanan saya,” katanya.
Menurutnya, penyertaan kali kedua dalam acara itu memberi pengalaman menyeronokkan.
“Ini kali kedua saya sertai MAIWP Run 2026 tahun depan saya akan sertai lagi tapi tidak tahu nak pakai apa pula,” katanya.

Pelajar lepasan SPM, Nurfatihah Najwa Zaid, 17, pula menyifatkan penyertaan kategori 3 kilometer sebagai cara mengisi masa sementara menunggu keputusan peperiksaan.
“Rasa penat tapi tenang sedikit kebetulan baru habis SPM. Sambutan meriah dan tahun hadapan saya akan sertai lagi kalau ada rezeki,” katanya.
Lebih 10,000 peserta pelbagai latar belakang menyertai MAIWP RUN 2026 yang dianjurkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama Koperasi PPZ Bhd (KoPPZ). — MalaysiaGazette
















