GENEVA – Lebih 250 ahli akademik di Switzerland telah menandatangani surat terbuka yang menggesa kerajaan untuk menamatkan perjanjian penyelidikan dua hala dengan Israel, atas kebimbangan terhadap perang di Gaza, lapor Anadolu Ajansi.

Swissinfo melaporkan pada Sabtu bahawa rayuan itu telah dihantar kepada Sekretariat Negara bagi Pendidikan, Penyelidikan dan Inovasi (SERI). Dalam surat berkenaan, para penandatangan menyifatkan perkongsian itu sebagai “bersubahat dalam jenayah yang dilakukan di Gaza” dan menggesa penelitian lebih mendalam terhadap hubungan institusi.

Inisiatif itu diselaraskan oleh Kolektif untuk Kebebasan Akademik, Demokrasi dan Solidariti (Clads), sebuah kumpulan yang ditubuhkan pada 2024 oleh beberapa cendekiawan berpangkalan di Lausanne, termasuk ahli sains iklim Profesor Julia Steinberger, menurut laporan akhbar serantau 24 Heures dan Tribune de Genève.

Pempetisyen meminta pihak berkuasa untuk menjalankan “penilaian terhadap projek-projek yang sedang berjalan” di universiti-universiti Switzerland bagi menentukan sama ada terdapat sebarang kaitan dengan tentera Israel atau apa yang mereka sifatkan sebagai “dasar genosid”  Israel  di bawah  Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Mereka turut menuntut penamatan perjanjian antara Yayasan Sains Kebangsaan Switzerland dan Yayasan Sains Israel.

Steinberger memberitahu akhbar berbahasa Perancis itu bahawa perkongsian berkenaan mempunyai akses terhad, “yang memberikan Israel status yang lebih istimewa dan oleh itu, lebih bermasalah”.

— BERNAMA-ANADOLU

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast