GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengarahkan pemberhentian sementara kerja di tapak pembinaan berhampiran Hospital Pulau Pinang (HPP) susulan insiden lori pembancuh simen terjatuh dari tebing di lokasi berkenaan, pada Jumaat lalu.
Arahan itu dikeluarkan menerusi notis oleh Jabatan Kawalan Bangunan selepas Datuk Bandar MBPP, Datuk A. Rajendran melakukan lawatan ke tapak pembinaan berkenaan semalam.
Katanya, lokasi berlaku kemalangan itu merupakan tapak pembinaan bagi Klinik Pakar dan Wad (HPP).
“Notis berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 70(9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan berkuat kuasa sehingga laporan serta siasatan berkaitan kejadian tersebut selesai.

“Notis terbabit menghendaki kerja pembinaan diberhenti mengikut Seksyen 70(9) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 berkuatkuasa hari ini (semalam) sehingga laporan dan siasatan selesai.
“Lawatan ini bertujuan meninjau tahap keselamatan kawasan sekitar tapak pembinaan itu susulan berlaku insiden kemalangan membabitkan lori simen yang terjatuh akibat hilang keseimbangan semasa menjalankan kerja pembinaan pagi semalam (kelmarin),” katanya dalam kenyataan media di sini.
ARTIKEL BERKAITAN
Lori simen terjatuh di tapak pembinaan, pemandu maut tersepit
Pemandu lori pembancuh simen warga Indonesia maut di tempat kejadian pada Jumaat lalu selepas kenderaan dipandunya terjatuh dari tebing setinggi hampir lima meter ketika mengundur di tapak pembinaan itu kira-kira jam 11 pagi. – MalaysiaGazette
















